Seri dengan Filipina
Malaysia seri jaringan dengan Filipina dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Jumaat (1 Jun).
Barisan pemain kebangsaan menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta banyak peluang namun pasukan pelawat berjaya menghalang jentera serangan pasukan kebangsaan.
Filipina terlebih dahulu mencemaskan lebih 20,000 penyokong tuan rumah apabila larian Stephen Markus Shahrock yang melepasi perangkap ofsaid berjaya dikekang penjaga gol negara, Mohd. Farizal Marlias seawal minit pertama.
Tersentak dengan asakan itu, Harimau Malaya yang kembali mengatur gerakan begitupun kecewa apabila tandukan Shahurain Abu Samah sedikit melewati palang gol pada minit kedua, manakala rembatan kaki kiri Safee Sali lima minit kemudian juga sedikit tersasar.
Kesilapan mudah Mulders yang gagal mengawal kemas bola di tengah padang juga nyaris dihukum Shahurain Abu Samah yang pantas menyambar peluang pada penghujung babak pertama, namun rembatan derasnya sekadar terkena tiang meskipun penjaga gol Filipina, Roland Richard Muller telah tertewas.
Peluang terbaik Harimau Malaya untuk memecah kebuntuan hadir menerusi kapten, Safiq Rahim sebaik bersambung babak kedua.
Begitupun, percubaan pertama Safiq melambung tinggi pada minit ke-46, manakala sepakan percumanya tiga minit kemudian juga sekadar melewati palang gol.
Harimau Malaya sekali lagi kecewa apabila percubaan Norshahrul Idlan Talaha gagal menepati sasaran pada minit ke-56 dan ke-69.
Percaturan Rajagobal yang membawa masuk beberapa pemain gantian seperti Ahmad Shakir Md. Ali, Azamuddin Mohd. Akil dan S. Chanturu pada pertengahan babak kedua juga gagal membuahkan hasil.
Sebaliknya, Filipina yang lebih banyak bertahan pada babak kedua nyaris mendahului menerusi percubaan Wolf yang terus ke dakapan Farizal pada minit ke-73.
Percubaan terakhir Chanturu yang melambung tinggi hasil hantaran Ahmad Shakir pada penghujung permainan juga cukup mengecewakan, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya terpaksa berputih mata di gelanggang sendiri.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 di Stadium Memorial Rizal, Manila, Februari lalu.


