3 PEMAIN JDT II DILEPAS PULANG, KIM SWEE PANGGIL NORSHAHRUL & NASIR

2016-09-28

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee terpaksa melepaskan tiga pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) iaitu Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Fazail dan Darren Lok selepas mereka diarahkan pulang oleh kelab terbabit, malam tadi.

 Sebagai ganti, Kim Swee telah memanggil dua pemain baharu iaitu pemain tengah Perak, Nasir Basharudin, 26, dan penyerang Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha, 30, untuk masing-masing perlu melapor diri ke kem latihan skuad Harimau Malaysia itu pada esok dan Jumaat.

 "Saya dimaklumkan tiga pemain itu diarahkan pulang ke JDT II malam tadi dan pagi ini kita telah menerima surat daripada kelab berkenaan yang mengatakan mereka hanya akan dilepaskan mengikut peraturan FIFA iaitu empat hari sebelum perlawanan.

 "Jadi kita harus menghormati peraturan FIFA dan pada masa yang saya mengharapkan agar mereka akan melapor diri semula sebelum perlawanan bertemu Singapura (7 Oktober ini)," kata Kim Swee ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

 Terdahulu semalam, 13 pemain hadir melapor diri untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan termasuk Zaquan, Irfan dan Darren sementara menanti baki 13 lagi pemain dari JDT, Kedah, Selangor, PDRM dan T-Team melapor diri pada Ahad ini selepas selesai aksi separuh akhir pertama Piala AFC 2016 dan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2016.

 "Seperti yang saya katakan sebelum ini, tujuan saya memanggil 13 pemain lebih awal adalah untuk mendapatkan tempoh masa lebih baik dan pada masa sama, pemain-pemain ini tidak terlibat dengan perlawanan liga mahu pun Piala Malaysia.

 "Apa pun saya tidak mahu memikirkan terlalu banyak mengenai hal ini di mana kita tahu peraturan adalah peraturan.

 "Yang penting, saya dapat mengumpul mana pemain yang ada lebih awal bagi mempertajamkan dan memperbaiki kelemahan yang dilihat ketika tewas 3-0 kepada Indonesia (6 September lalu)," jelas Kim Swee. - FAM