FAM AKAN LANCAR FAM MYPAS 12 DISEMBER INI

 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan sistem baharu pendaftaran pemain dan pegawai pasukan-pasukan Liga Malaysia serta ahli-ahli gabungan, FAM MyPAS akan dilancarkan mulai 12 Disember ini.

 Objektif segera program yang diperkenalkan menerusi projek ‘FIFA Connect’ ini ialah bagi membantu dalam integrasi maklumat-maklumat pemain serta pegawai secara menyeluruh dan sistematik pasukan-pasukan yang akan bertanding dalam pertandingan kendalian FAM iaitu; Piala FAM, Piala Belia dan Piala Presiden.

 Platform ini membolehkan kesemua pemain dan pegawai yang berdaftar diberikan pengenalan diri (ID) tersendiri dan akan menjadi asas dari aspek kawalan umur, perlindungan pemain bawah umur serta memastikan pembangunan bola sepak di setiap peringkat berteraskan ketelusan maklumat. 

 Pada 28 hingga 29 November lalu, FAM telah menganjurkan bengkel latihan FAM MyPAS bersama Pegawai Pentadbir dari setiap pasukan Liga Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya. Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut FAM turut akan mengadakan sesi bengkel susulan.