FAM JUARA SULUNG PIALA CABARAN TUNKU ABDUL RAHMAN FAM-AFC

2016-08-27

Pasukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjaya mencatat kemenangan tipis 6-5 ke atas pasukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi untuk muncul juara Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC 2016.

 Pasukan FAM diketuai setiausaha agungnya, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin serta dibarisi kakitangan FAM lain termasuk pengarah teknikalnya, Fritz Schmid dan jurulatih futsal lelaki negara, Marcelo Serpa.

 Sementara pasukan AFC pula diketuai setiausaha agungnya, Dato' Windsor John serta dibarisi kakitangan AFC lain termasuk juga bekas setiausaha agungnya, Dato' Alex Soosay.

 Gol-gol FAM telah dijaringkan oleh Sentilkumar Palanisamy (22', 35' & 82'), Mohd Sukri Mohd Sharif (58'), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad (78') dan Ahmad Sallehin Khalid (89').

 Gol-gol AFC pula diperoleh menerusi Hee Chun Keet (19'), Avazbek Berdikulov (25'), Veshenukumar Selvakumar (48'), Masahiro Sugiyama (62'-penalti) dan Deng Xiaolong (71').

 FAM dan AFC merancang penganjuran Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC ini secara bergilir setiap tahun dengan FAM menjadi tuan rumah sulung tahun ini diikuti AFC pada tahun hadapan dan diadakan pada Ogos pula adalah bersempena bulan kemerdekaan Malaysia.

 Nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dipilih untuk trofi perlawanan persahabatan antara FAM dan AFC ini kerana bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu pernah menjadi presiden kedua-dua badan induk bola sepak terbabit.

 Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden FAM selama 23 tahun dari 1951 hingga 1974 serta turut pernah memegang jawatan selaku Presiden AFC selama 19 tahun dari 1958 hingga 1977.

 Beliau juga menjadi individu penting dalam merealisasikan edisi sulung kejohanan Pestabola Merdeka yang berlangsung di Stadium Merdeka dari 31 Ogos hingga 7 September 1957 bersempena Hari Kemerdekaan Tanah Melayu (Malaysia).

 Lahir di Alor Setar, Kedah pada 8 Februari 1903, Tunku Abdul Rahman yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 1970 telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 Disember 1990 ketika berusia 87 tahun.