FAM TUNGGU KEPUTUSAN UJIAN SAMPEL B PENJAGA GOL B-23 KEBANGSAAN

2018-02-13

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan bahawa ujian sampel B bagi kes doping membabitkan penjaga gol B-23 kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed telah dibuat semalam (12 Februari 2018) selepas ujian sampel A yang dilakukan sewaktu Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changshu, China disahkan positif bahan terlarang, metabolite methandienone.

Syihan, 22, telah dipilih untuk menjalani ujian doping selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari 2018.

Syihan tidak beraksi langsung sepanjang kejohanan kerana ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah menurunkan Ifwat Akmal Chek Kassim pada perlawanan bertemu Iraq itu dan seorang lagi penjaga gol, Haziq Nadzli pada tiga perlawanan berikutnya sehingga Malaysia tewas 2-1 kepada Korea Selatan pada suku akhir.

Pada 6 Februari 2018, FAM telah menerima surat daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menyatakan bahawa Syihan didapati positif metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari 2018.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah memutuskan bahawa Syihan dikatakan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan rasmi.

Berkuatkuasa serta merta, Syihan telah dilarang beraksi bersama pasukannya, Negeri Sembilan bermula perlawanan kedua Liga Super 2018 bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu lalu (7 Februari 2018) biarpun beliau telah turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC pada 3 Februari lalu.

Syihan telah memohon supaya sampel B diuji dan ia telah pun dibuat semalam, kini hanya menunggu keputusannya sama ada kekal positif atau negatif.

AFC akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Syihan tidak dibenarkan beraksi bersama Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara 60 hari itu.

 

Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)