FINAL 2 PIALA BELIA 2017: KEDAH BANGKIT BENAM SSMP B-17 DI GELANGGANG SENDIRI UNTUK MUNCUL JUARA

2017-10-17

Kedah berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 pada aksi Final 2 Piala Belia 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi untuk muncul juara berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

 Kedudukan agregat terikat 3-3 memandangkan SSMP B-17 telah menewaskan Kedah 3-2 pada aksi Final 1 di Stadium UiTM, Shah Alam pada Rabu lalu (11 Oktober).

 Namun Kedah kendalian Mohamad Ramlee bergelar pemenang kerana mereka menjaringkan dua gol di tempat lawan berbanding SSMP B-17 bimbingan P Somasundram yang gagal menjaringkan gol di tempat lawan.

 Pada aksi di Stadium Darul Aman, malam tadi, gol tunggal kemenangan Kedah diperoleh menerusi tandukan ketua pasukan, Asnawi Sonkurnain pada minit ke-53.

 Selaku juara, Kedah berjaya merangkul piala pusingan dan hadiah wang tunai RM80,000 manakala SSMP B-17 selaku naib juara menerima wang tunai RM50,000.

 Dalam laluan untuk bergelar juara pertandingan B-19 kebangsaan ini, Kedah telah muncul naib juara Kumpulan A di belakang SSMP B-17, sebelum berjaya menyingkirkan pasukan tangga ketiga Kumpulan B, Perak pada suku akhir dan pasukan tangga keempat Kumpulan A, Terengganu pada separuh akhir.

 Musim lalu, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 kendalian Reduan Abdullah muncul juara selepas menewaskan Selangor pada aksi final. SSBJ B-17 tidak menyertai pertandingan musim ini sementara Selangor disingkirkan SSMP B-17 pada suku akhir.

 

KEDAH: 22-Wan Syazmin Wan Ruzaimi (PG), 4-Fitri Daud, 5-Heshamudin Ahmad, 6-Asnawi Sonkurnain (K), 8-Ezmie Naim Eddy Effendy, 12-Ikmal Hakim Murshariza, 15-Hasrul Helmi Zakaria, 16-Khairuddin Salleh, 21-Akmal Azmi (17-Alief Najmi Radzi 90'), 29-Kamil Akmal Abd Halim, 32-Akhyar Rashid.

SSMP B-17: 18-Aidil Mirza Darwisy Mazhisam (PG), 2-Abdul Hadi Hasbollah, 6-A'sif Maszarry, 9-Arif Shaqirin Suhaimi (K), 10-Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, 15-Nizarruddin Jazi (4-Zainul Arifin Ahmad Latifi 70'), 16-Izreen Izwandy, 17-Noramirul Awang (25-S Sharvin 60'), 19-Arhamkhussyairi Abd Wahab (24-Ikwan Yazek 86'), 20-Feroz Baharuddin, 21-Alif Safwan Sallahuddin.

Pengadil: Shahrul Amin Abd Aziz

 

KEPUTUSAN FINAL 2

ISNIN, 16 OKTOBER 2017

 

KEDAH 1

Asnawi Sonkurnain 53'

SSMP (B-17) 0

* Kedah menang gol tempat lawan, agregat 3-3