FINAL 2 PIALA FAM 2017: SIME DARBY FC MUNCUL JUARA SELEPAS SERI 2-2 DENGAN UKM FC DI LAMAN SENDIRI

2017-10-23

Sime Darby FC berjaya menjulang Piala FAM 2017 menerusi kemenangan agregat 3-2 selepas seri 2-2 dengan UKM FC pada Final 2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam tadi untuk muncul juara saingan liga divisyen tiga kebangsaan itu buat kali kedua dalam tempoh tujuh tahun.

 Selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 pada Final 1 di tempat lawan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 15 Oktober lalu, skuad kendalian Ahmad Yusoff itu dikejutkan gol pendahuluan UKM FC menerusi Hasrul Nurkholis Hasim pada minit ke-17 untuk kedudukan agregat 1-1.

 Namun Sime Darby FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nazrul Kamaruzaman pada minit ke-29 sebelum beroleh gol kedua hasil jaringan Tunku Noor Hidayat Tunku Ishak pada minit ke-55 untuk kembali selesa mendahului 3-1 secara agregat.

 UKM FC bimbingan Sulaiman Hussin tidak berputus asa dan berjaya juga menjadikan kedudukan 2-2 dan agregat 3-2 apabila Faidzol Fazreen Shamsudin menanduk tepat di depan pintu gol Sime Darby FC pada minit ke-89 tetapi sudah terlewat untuk mendapatkan gol kemenangan.

 Selaku juara, Sime Darby FC berjaya merangkul piala pusingan dan hadiah wang tunai RM200,000 manakala UKM FC selaku naib juara menerima wang tunai RM100,000.

 Dalam laluan untuk bergelar juara, Sime Darby FC telah muncul juara Kumpulan B sebelum menyingkirkan pasukan tangga keempat Kumpulan A, MOF FC pada suku akhir, naib juara Kumpulan A, FELCRA FC pada separuh akhir dan juara Kumpulan A, UKM FC di pentas final.

 Musim lalu, MISC-MIFA berjaya muncul juara dengan menewaskan PKNP FC pada aksi final, sekali gus kedua-dua pasukan layak beraksi pada saingan Liga Premier musim ini.

 Selaku dua finalis Piala FAM musim ini, Sime Darby FC akan kembali ke pentas Liga Premier 2018 selepas semusim beraksi di Piala FAM sementara UKM FC bakal ke pentas saingan liga divisyen dua kebangsaan itu buat kali pertama.

 

SIME DARBY FC: 22-Faridzuean Kamaruddin (PG), 3-Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad (K), 4-Azmirul Azmi, 8-Faizal Ab Aziz, 10-Nazrul Kamaruzaman (13-Azrul Razman 90'+1), 11-Dzulfahmi Abdul Hadi, 15- Zainudin Abidin, 17-Tunku Noor Hidayat Tunku Ishak, 23-Junaidi Shafiai (16-Nik Azlam Nik Januaha 70'), 26-A Segar, 30-Naim Asraff Nordin (18-Juzali Samion 46').

UKM FC: 29-Khairi Hassan (PG), 4-Asnan Ahmad, 5-Hafizudin Sulaiman (K), 8-Fitri Za'aim Amran, 9-Noor Ikqmal Riezzal Zanil, 10-Hasrul Nurkholis Hasim (11-Gusti Ishak Fitri Shah Said 83'), 13-Azryl Reza Zamri, 14-Wan Afiq Wan Kasbi (21-Raffiq Roslan 57'), 22-Helmi Hariri Ibrahim, 27-Rafizi Hamdan, 28-Wan Faiz Wan Sulaiman (19-Faidzol Fazreen Shamsudin 68').

Pengadil: Samsudin Ibrahim

 

KEPUTUSAN FINAL 2

AHAD, 22 OKTOBER 2017

 

SIME DARBY FC 2

Nazrul Kamaruzaman 29' Tunku Noor Hidayat Tunku Ishak 55'

UKM FC 2

Hasrul Nurkholis Hasim 17' Faidzol Fazreen Shamsudin 89'

* Sime Darby FC menang agregat 3-2