FUTSAL: AKSI PERSAHABATAN BERTEMU INDONESIA BATAL

2016-09-20

Ketua jurulatih baharu skuad futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong terpaksa membatalkan dua perlawanan persahabatan menentang Indonesia yang sepatutnya berlangsung di Jakarta pada 8 dan 9 Oktober ini.

 Hal itu disahkan Chun Yong ketika ditemui media pada hari pertama kem latihan pusat skuad futsal kebangsaan di KSL Sports Puchong, petang semalam.

 "Sepatutnya kami ke Jakarta dari 6 hingga 10 Oktober ini tetapi tiba-tiba pihak Indonesia memaklumkan mengenai pembatalan dua perlawanan persahabatan itu.

 "Mungkin ia disebabkan Malaysia dan Indonesia diundi sama kumpulan dalam saingan Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Bangkok, Thailand (31 Oktober hingga 8 November).

 "Jadi kita tak boleh elak pembatalan itu dan terpaksa mencari perlawanan persahabatan lain untuk dijadikan persiapan bagi menghadapi kejohanan tersebut," kata Chun Yong.

 Selain itu, pengendali berusia 43 tahun itu turut merancang untuk berlepas seminggu awal ke Bangkok sebelum sepak mula kejohanan bagi membolehkannya menguji beberapa pasukan kebangsaan atau kelab Thailand sebagai perlawanan pemanas badan.

 Sesi latihan petang semalam turut menyaksikan buat pertama kalinya kelibat dua individu yang telah dipilih Chun Yong sebagai penolong jurulatihnya iaitu Jamhuri Zainuddin dan Zul'azmi Zulkifli.

 "Jamhuri dari Selangor pernah menjadi penolong jurulatih ketika saya membimbing skuad futsal wanita kebangsaan tahun lalu manakala Zul'azmi merupakan jurulatih pasukan futsal Felda United.

 "Saya pilih kedua-dua mereka ini berdasarkan kriteria yang saya perlukan iaitu sekurang-kurangnya mereka tahu corak taktikal yang dimahukan, memiliki latar belakang yang baik, berpengalaman luas mengendalikan pasukan dalam Liga Futsal Kebangsaan dan mempunyai rekod cemerlang.

 "Dari aspek-aspek tersebut, saya berasakan yang Jamhuri dan Zul'azmi dapat membantu saya dalam mengendalikan skuad futsal lelaki kebangsaan ini," jelas Chun Yong.

 Bagi Kejuaraan Futsal AFF 2016, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B dan akan bertemu Singapura pada 1 November, Indonesia (2 November), Laos (3 November) dan Myanmar (4 November) bagi memburu tempat ke separuh akhir pada 6 November sebelum final dijadual pada 8 November.

 Kumpulan A pula menampilkan empat pasukan iaitu tuan rumah Thailand, Vietnam, Brunei dan Timor-Leste.

KREDIT FOTO: ASIANA.MY