KEJUARAAN AFF B-19 2016: MALAYSIA 2-1 SINGAPURA

2016-09-15

Skuad Malaysia Bawah 19 tahun (B-19) meneruskan rentak cemerlang pada kempen Kejuaraan AFF B-19 2016 setelah menumpaskan Singapura 2-1 di Stadium Hang Day, Hanoi, petang tadi.

Terdahulu, pada aksi pembukaan yang berlangsung kelmarin (Selasa), pasukan Harimau Malaysia kendalian Frank Bernhardt berjaya membenam Filipina 5-0.

Mendominasi aksi di awal permainan, skuad kendalian ketua jurulatih dari Jerman itu garang membuka tirai jaringan seawal minit ke-16 menerusi sepakan jarak jauh pemain sayap kiri, Zarulizwan Mazlan.

Skuad negara terus menekan barisan pertahanan pasukan lawan dengan serangan bertali arus dan berjaya mengukuhkan kedudukan melalui gerakan solo penyerang berusia 19 tahun, Jafri Firdaus Chew yang bijak menyempurnakan peluang di depan gol untuk kedudukan babak pertama berakhir 2-0.

Bersambung babak kedua, pasukan kebangsaan meneruskan asakan namun berjaya dinafikan oleh barisan pertahanan Singapura.

Tersentak, pasukan bimbingan Takuya Inoue cuba untuk bangkit dan akhirnya menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan percuma Syahrul Sazali lapan minit sebelum tamat perlawanan untuk keputusan muktamad 2-1.

Kemenangan kedua berturut-turut itu menyaksikan Malaysia kekal di tangga kedua peringkat saingan Kumpulan A dengan 6 mata di belakang pendahulu, Vietnam yang menewaskan Filipina 4-3 pada satu lagi perlawanan kumpulan itu dengan 7 mata.

Perlawanan ketiga diteruskan Sabtu ini (17 September) dengan Malaysia bakal berdepan pasukan di tangga ketiga, Timor Leste di venue yang sama. 

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD MALAYSIA B-19, FRANK BERNHARDT

“Pada perlawanan kedua ini, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan pada 30 minit pertama separuh masa pertama di mana para pemain melaksanakan taktik seperti yang kita rancang, mempamerkan aksi yang mantap dan berjaya menjaringkan gol.”

KEDUDUKAN KUMPULAN A

 

P

M

S

K

G

B

MT

VIETNAM

3

2

1

0

8

4

7

MALAYSIA

2

2

0

0

7

1

6

TIMOR LESTE

2

1

0

1

3

5

3

SINGAPURA

2

0

1

1

1

2

1

FILIPINA

3

0

0

3

4

10

0