KEJUARAAN B-16 AFC 2016: IRAQ 1-1 MALAYSIA

2016-09-20

Skuad B-16 negara kendalian P Somasundram menghidupkan peluang tipis untuk ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2016 selepas berjaya mengikat Iraq 1-1 pada perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru, Goa, India, petang semalam.

 Selepas tewas 3-0 kepada Oman pada aksi sulung Jumaat lalu, Malaysia berdepan tugas sukar menghadapi Iraq yang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan dan kekalahan kedua bakal menyaksikan Malaysia akan tersingkir terus daripada pemburuan dua tempat teratas ke suku akhir.

 Namun Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan Malaysia pada minit ke-85 menerusi sepakan cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Iraq, Ali Ibadi Jabbar.

 Terdahulu, Iraq mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mohammed Ridha Jalil pada minit ke-43.

 Iraq terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-57 selepas sepakan penalti diambil Muntadher Mohammed berjaya diselamatkan penjaga gol Malaysia, Firdaus Imran Fadhil.

 Satu lagi perlawanan malam tadi menyaksikan Oman dan Korea Selatan seri 0-0, sekali gus Kumpulan C kini didahului Oman dengan 4 mata diikuti Iraq (4), Korea Selatan (1) dan Malaysia (1).

 Perlawanan terakhir Kumpulan C bakal berlangsung pada Khamis ini dengan Malaysia bertemu Korea Selatan di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru dan Oman berdepan Iraq di Stadium GMC, kedua-duanya berlangsung serentak jam 8 malam (9.30 malam waktu Malaysia).

 Biarpun dilihat agak sukar, Malaysia masih berpeluang ke suku akhir dengan syarat perlu menewaskan Korea Selatan dan mengharapkan pertembungan Oman dan Iraq tidak berakhir dengan seri, selain perlu melihat kepada jumlah perbezaan gol.

KREDIT FOTO: AFC

 

KOMEN JURULATIH MALAYSIA B-16, P SOMASUNDRAM:

"Perancangan kami untuk perlawanan ini memang untuk bermain secara bertahan dan cuba untuk memerangkap lawan menerusi serangan balas.

 "Saya rasa pada lima atau 10 minit terakhir permainan, pemain Iraq nampak keletihan dan pemain saya mula mendapat peluang untuk menjaringkan gol.

 "Saya ingin ucap tahniah kepada para pemain kerana keputusan seri ini sesuatu yang cukup baik bagi kami kerana berdepan Iraq yang telah menewaskan Korea Selatan pada perlawanan pertama."