KEJUARAAN B-16 AFC 2016: MALAYSIA 0-3 OMAN

2016-09-17

Skuad B-16 negara kendalian P Somasundram memulakan kempen Kejuaraan B-16 AFC 2016 dengan langkah kiri selepas tewas 3-0 kepada Oman di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru, Goa, India, malam tadi.

 Selepas ketinggalan 1-0 pada babak pertama menerusi sepakan penalti Arshad Alawi minit ke-20, Oman menambah dua lagi gol pada babak kedua menerusi Yousuf Malki yang menyudahkan sepakan penaltinya yang ditepis penjaga gol Firdaus Amran Fadhil minit ke-63 dan jaringan kedua peribadi Arshad minit ke-78.

 Satu lagi perlawanan Kumpulan C yang berlangsung petang semalam menyaksikan Iraq berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1.

 Perlawanan kedua bakal berlangsung Isnin ini dengan Malaysia akan bertemu Iraq (6.30 petang waktu Malaysia) disusuli Oman menentang Korea Selatan (9.30 malam waktu Malaysia).

KREDIT FOTO: AFC

 

KOMEN JURULATIH MALAYSIA B-16, P SOMASUNDRAM:

"Saya rasa kami telah melepaskan dua gol mudah. Kami gagal menyusun barisan pertahanan dengan baik untuk menangani tekanan yang dilakukan barisan depan Oman.

 "Kami melakukan banyak kesilapan di bahagian pertahanan dan hantaran-hantaran yang dilakukan juga tidak begitu baik pada perlawanan ini. Jadi kami harus akur untuk menerima kekalahan ini.

 "Barisan tengah kami juga kurang menjadi dan ini memberikan lawan lebih ruang untuk menguasai permainan. Sudah tentu ini kejohanan peringkat tinggi (berbanding kejohanan lain disertai sebelum ini) dan semua pasukan mahukan tiga mata penuh untuk mara lebih jauh bagi melayakkan diri ke Piala Dunia."