KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016: MALAYSIA 3-5 MYANMAR

2017-01-25

Skuad futsal kebangsaan, Harimau Malaysia tewas 5-3 kepada Myanmar pada perlawanan ketiga Kumpulan B, Kejuaraan Futsal AFF 2016 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, petang tadi.

 Dengan kekalahan itu, skuad kendalian Chiew Chun Yong mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B berbekal enam mata hasil dua kemenangan pada perlawanan terdahulu menewaskan Indonesia 6-5 dan Laos 13-1.

 Sementara Myanmar muncul juara Kumpulan B dengan sembilan mata maksimum selepas turut menewaskan Laos 6-1 dan Indonesia 6-3 pada dua aksi terdahulu.

 Pada aksi petang tadi, Malaysia bermula garang apabila berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Abu Haniffa Hassan pada minit ke-17 dan Saiful Nizam Mohd Ali, minit ke-18.

 Permulaan babak kedua juga cukup baik apabila Khairul Effendy Bahrin menjaringkan gol ketiga untuk Malaysia selesa mendahului 3-0.

 Namun Myanmar kendalian Htay Myint berjaya bangkit membalas lima gol pada sembilan minit terakhir menerusi jaringan Nyein Min Soe (m-31 & m-40), Pyae Phyo Maung (m-32 & m-40) dan Aung Aung (m-36).

 Pada aksi separuh akhir, Jumaat ini, Malaysia hampir pasti akan bertemu juara bertahan Thailand. Pasukan tuan rumah itu yang akan berdepan Brunei, malam ini dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan kedua, sekali gus muncul juara kumpulan A.

 

KREDIT FOTO: ASEAN FOOTBALL FEDERATION (AFF)

 

KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG:

"Bagi saya, pemain telah beraksi dengan cukup baik pada separuh masa kedua. Mereka bermain mengikut perancangan permainan.

"Hanya pada separuh masa kedua, biarpun pada satu ketika kita sudah mendahului 3-0, selepas Myanmar mula memberikan tekanan, pemain gagal mengawal keadaan lalu melakukan banyak kesilapan mudah dan juga kesilapan individu yang seterusnya mengakibatkan lima gol dibolosi.

 "Sudah tentu saya cukup kecewa kerana kita hilang momentum dan fokus pada 10 minit terakhir permainan terutamanya. Jika tidak, kita mungkin berjumpa pasukan lebih mudah pada separuh akhir dan peluang ke final pasti lebih cerah.

 "Jadi kita hampir pasti akan bertemu Thailand di separuh akhir. Tapi apa sekali pun, kita perlu melakukan persiapan untuk berdepan pasukan pilihan utama kejohanan ini. Saya pasti pemain akan bersedia dan kembali bangkit pada aksi separuh akhir nanti.

 "Sudah tentu kita mempunyai strategi tertentu bagi menyaingi Thailand kerana kita tahu yang Thailand cukup kuat sama ada dari segi teknikal dan taktikal, ditambah pula mereka dibarisi pemain berprofil tinggi."