KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016: MALAYSIA 3-5 THAILAND (SEPARUH AKHIR)

2017-01-28

Skuad futsal kebangsaan, Harimau Malaysia gagal melangkah ke pentas final Kejuaraan Futsal AFF 2016 selepas tewas 5-3 kepada juara bertahan, Thailand pada perlawanan separuh akhir di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, malam tadi.

 Namun skuad kendalian Chiew Chun Yong itu telah mempamerkan persembahan cukup membanggakan apabila berjaya mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Saiful Nizam Mohd Ali seawal minit pertama diikuti Khairul Effendy Bahrin (m-9) & Syed Aizad Daniel Syed Nasir (m-12).

 Penjaga gol yang juga kapten skuad kebangsaan, Firdaus Razali wajar dipuji kerana berjaya menyelamatkan banyak percubaan berbahaya dan bertali arus daripada pemain-pemain Thailand kendalian jurulatih dari Sepanyol, Miguel Rodrigo sepanjang babak pertama.

 Bagaimanapun Thailand yang mendapat sokongan padu ribuan penyokong sendiri berjaya bangkit membalas lima gol pada separuh masa kedua menerusi Muhammad Osamanmusa (m-21 & m-24), Sorasak Phoonjungreed (m-25) dan Jirawat Sornwichian (m-35 & m-39).

 Pada aksi final malam esok (Ahad), Thailand selaku juara 11 kali akan berdepan Myanmar yang berjaya mara ke final buat kali pertama selepas menewaskan Timor-Leste 8-3 pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung petang semalam.

 Malaysia pula yang pernah tiga kali muncul naib juara pada 2003, 2005 dan 2010 akan bertemu Timor-Leste untuk perlawanan penentuan tempat ketiga, petang esok.

 

KREDIT FOTO: FACEBOOK SMM THAILAND FUTSAL

 

KOMEN KETUA JURULATIH FUTSAL MALAYSIA, CHIEW CHUN YONG:

"Secara keseluruhan, pemain telah mengikut strategi yang telah saya rancang. Kita cuba untuk mematikan sistem dan cara permainan Thailand dengan memberikan lebih tekanan sebab kita tahu mereka pasukan lebih berpengalaman.

 "Nampak semuanya menjadi pada separuh masa pertama dan kita berjaya mendahului 3-0. Saya juga sudah menjangka yang mereka akan datang menyerang lebih hebat pada babak kedua dan kami sebenarnya sudah bersedia untuk menghadapi situasi berkenaan.

 "Tapi sekali lagi, masalah sama ketika bertemu Myanmar berulang apabila berlaku hilang fokus yang menyebabkan Thailand mendapatkan gol demi gol. Cuma kali ini pemain tidak terus hilang moral seperti bertemu Myanmar apabila mereka masih cuba bangkit ketika ketinggalan.

 "Pemain berjaya menunjukkan karakter yang cukup positif. Ini yang saya mahu lihat. Hingga pemain Thailand tampak tertekan selain pengadil melakukan beberapa keputusan yang silap.

 "Apa pun dengan kita berdepan Thailand yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri dan mereka turut diperkuat beberapa pemain senior yang beraksi di Piala Dunia, saya rasa pemain kita sudah melakukan yang terbaik dan bermain mengikut perancangan. Cuma sedikit hilang fokus pada awal lima minit babak kedua menghukum kita.

 "Saya harap pemain terus bermotivasi untuk menghadapi perlawanan penentuan tempat ketiga bertemu Timor-Leste. Jika kita lihat, persembahan menentang Thailand ini nampak banyak peningkatan berbanding ketika bertemu Myanmar. Ada sesuatu yang kita perlu belajar.

 "Cuma kita perlukan liga domestik yang kompetitif kerana jika tidak, sukar untuk pemain kita bersaing pada perlawanan antarabangsa seperti ini. Dan juga latihan yang konsisten."