KELAYAKAN KEJUARAAN B-23 AFC 2018: MALAYSIA 2-0 MONGOLIA

2017-07-24

Skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya menewaskan Mongolia 2-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan H, Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, Thailand, petang semalam.

 Kemenangan itu dengan dibantu pula keputusan seri 0-0 antara Thailand dan Indonesia pada satu lagi aksi malam tadi menyaksikan Malaysia berjaya layak automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari depan selaku juara Kumpulan H selepas mengumpul enam mata.

 Thailand di tangga kedua dengan lima mata turut layak selaku enam pasukan terbaik di tempat kedua manakala Indonesia gagal layak selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dengan empat mata diikuti Mongolia tercorot dengan satu mata.

 Pada aksi terakhir itu, Kim Swee melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utamanya dengan hanya mengekalkan enam pemain daripada aksi kedua bertemu Thailand iaitu penjaga gol Amierul Hakimi Awang, Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin, Danial Amier Norhisham, Syazwan Andik Ishak dan N Thanabalan.

 Namun kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Mongolia kendalian Michael Weiss menyaksikan Kim Swee melakukan dua pertukaran drastik dengan membawa masuk Syafiq Ahmad dan Syahmi Safari bagi menggantikan Fauzan Fauzi dan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-38.

 Terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan dengan memperoleh gol pertama pada minit ke-51 selepas Thanabalan menyudahkan hantaran Danial Ashraf Abdullah dari sebelah kanan.

 Malaysia terus berkelebihan selepas itu apabila Mongolia terpaksa beraksi 10 pemain apabila pemain pertahanannya, B Uuganbat dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah.

 Gol kedua Malaysia bagaimanapun hanya hadir pada minit ke-86 menerusi sepakan deras ke penjuru gawang oleh Syazwan Andik Ishak untuk mematikan terus semangat juang lawan.

 Terdahulu, Malaysia memulakan kempen kelayakan Kumpulan H ini dengan cemerlang menewaskan Indonesia 3-0 pada 19 Julai, namun tewas 3-0 kepada Thailand pada aksi kedua pada 21 Julai.

 Skuad B-22 kebangsaan ini akan pulang ke tanah air, hari ini dan dijangka tiba di KLIA, Sepang jam 5.25 petang ini.

KREDIT FOTO: ASIANA.MY

 

MALAYSIA: 22-Amierul Hakimi Awang; 3-Syazwan Zaipol Bahari, 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin (C); 18-Fauzan Fauzi (20-Syafiq Ahmad 38'), 8-Danial Ashraf Abdullah, 16-Danial Amier Norhisham (7-Amirul Hisyam Awang Kechik 72'), 21-Syazwan Andik Ishak; 14-Nur Shamie Iszuan Amin (13-Syahmi Safari 38'), 10-Akhyar Rashid, 12-N Thanabalan.

MONGOLIA: 1-Enkhtaivan Munkh-Erdene; 19-B Uuganbat, 2-Munkh-Orgil, 22-D Bilguun, 8-A Narmandakh; 16-B Tserenbayar, 15-Gal-Erdene, 5-G Tuguldur, 10-M Tuguldur, 18-T Altansukh (7-G Ganbayar 55'); 13-P Enkhbileg (12-A Temuujin 68').

Pengadil: Jarred Gavan Gillett (Australia)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE

"Bagi saya apa yang penting adalah komitmen pemain. Kalau pemain berikan komitmen yang cukup baik, saya percaya kita boleh bertambah baik dan apa yang kita lalui sudah tentu perit tetapi kami tetap bersatu sebagai satu pasukan.

"Kemenangan ke atas Indonesia pada perlawanan pertama tempoh hari sebenarnya telah memberi kita impak untuk kita layak ke pusingan akhir.

"Ini adalah satu permulaan, kita tidak boleh memikirkan terlalu besar dan yang penting kita perlu beri ruang terutama kepada pemain-pemain muda di mana layaknya ke pusingan akhir peringkat Asia ini, kita akan bermain dengan pasukan-pasukan yang lebih baik.

"Daripada situ, kita akan bertambah baik dan saya percaya kumpulan pemain yang kita ada ini mampu memberikan saingan di masa hadapan untuk pasukan senior negara."