KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: LEBANON 2-1 MALAYSIA

2018-03-28

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe tidak bernasib baik apabila dibolosi gol pada minit akhir untuk tewas 2-1 kepada Lebanon pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Sports City, Beirut, malam tadi.

Hanya Matthew Davies dan Mahalli Jasuli daripada kesebelasan utama ketika seri 2-2 dengan Mongolia pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Bukit Jalil, 22 Mac lalu bermula untuk perlawanan ini tatkala Zaquan Adha Abd Radzak, salah seorang daripada sembilan pemain baharu yang dipanggil telah diberikan lilitan kapten.

Lebanon kendalian Miodrag Radulovic dari Montenegro berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Hassan Maatouk pada minit ke-19 selepas kapten tuan rumah itu sendiri telah dijatuhkan oleh Davies.

Malaysia bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 selepas Syafiq Ahmad yang baru lima minit masuk menggantikan Akhyar Rashid menanduk masuk bola sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor.

Ketika permainan dilihat akan berkesudahan seri 1-1, Lebanon berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94 selepas Hilal El-Helwe melepaskan rembatan deras di dalam kotak penalti menerusi satu gerakan menarik.

Selesai enam perlawanan, Lebanon dan Korea Utara berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 selepas masing-masing mengumpul 16 dan 11 mata untuk menduduki dua tangga teratas Kumpulan B diikuti Hong Kong di tangga ketiga dengan lima mata manakala Malaysia di tangga keempat dengan satu mata.

Malaysia yang sebelum ini di bawah kendalian ketua jurulatih, Nelo Vingada memulakan kempen pada 13 Jun 2017 dengan tewas 2-1 kepada Lebanon di Larkin, sebelum seri 1-1 dengan Hong Kong di Melaka dan tewas 2-0 kepada Hong Kong di gelanggang lawan.

Namun dua kekalahan berturut 4-1 kepada Korea Utara di gelanggang berkecuali iaitu di Buriram, Thailand menyaksikan pengendali dari Portugal itu akhirnya meletak jawatan pada 6 Disember 2017 dan sehari kemudian, Cheng Hoe yang merupakan penolong Vingada telah dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih baharu.

Skuad Harimau Malaya dijangka tiba di tanah air pada jam 9.50 malam ini (Rabu, 28 Mac) bagi menghadapi pula perlawanan persahabatan antarabangsa "A" bertemu Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad ini, 1 April 2018 yang merupakan perlawanan ketiga di bawah kendalian Cheng Hoe.

 

LEBANON: 21-Mehdi Khalil; 19-Kassem El Zein, 3-Mootaz Jounaidi (10-Mohamad Haidar 81'), 4-Nour Mansour, 18-Walid Ismail (17-Zein Tahan 76'); 14-Nader Matar, 15-Haitham Faour, 6-Samir Ayass; 20-Rabih Ataya (8-Hassan Chaito 81'), 7-Hassan Maatouk (C); 9-Hilal El-Helwe.

MALAYSIA: 23-Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy; 2-Matthew Davies, 16-Irfan Zakaria, 3-Shahrul Saad, 20-Ariff Farhan Md Isa; 18-Mahalli Jasuli, 12-Akram Mahinan (13-Kogileswaran Raj 89'); 19-Wan Zack Haikal Wan Nor (5-Shahrel Fikri Fauzi 79'), 10-Nazmi Faiz Mansor, 7-Akhyar Rashid (17-Syafiq Ahmad 67'); 8-Zaquan Adha Abd Radzak (C).

Pengadil: Valentin Kovalenko (Uzbekistan)

 

KREDIT FOTO: LEBANON FA