KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: MALAYSIA 1-1 HONG KONG

2017-09-06

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada berjaya meraih mata pertama dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2019 selepas mengikat Hong Kong 1-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

 Vingada yang mengekalkan kesebelasan sama ketika tewas 1-0 kepada Myanmar pada perlawanan persahabatan di Yangon, 29 Ogos lalu menyaksikan pasukannya ketinggalan menerusi serangan balas pantas yang disudahkan penyerang Hong Kong kelahiran Brazil, Sandro pada minit ke-53.

 Skuad Harimau Malaya tidak mengalah, sebaliknya pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi penyudah kemas pemain sayap kiri, Syazwan Zainon selepas percubaan awal kapten, Safiq Rahim terbias kaki pertahanan lawan.

 Ketika permainan memasuki minit ke-90, Malaysia terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain pertahanan, Rizal Ghazali dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah kerana masuk semula ke padang tanpa kebenaran pengadil selepas menerima rawatan di tepi padang.

 Ketika empat minit masa kecederaan berlangsung, Hong Kong dianugerahkan sepakan penalti selepas pemain yang baru masuk, Akram Mahinan menjatuhkan Alex Akande dan akibat membantah keputusan pengadil, Aidil Zafuan Abd Radzak dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah untuk Malaysia beraksi sembilan pemain.

 Sepakan penalti diambil Sandro pada minit ke-97 itu bagaimanapun berjaya ditepis baik penjaga gol Malaysia, Hafizul Hakim Khairul Nizam dan sepakan susulan penyerang Hong Kong itu pula sipi ke kiri pintu gol untuk menamatkan permainan dengan keputusan seri 1-1.

 Malaysia kini di tangga keempat Kumpulan B dengan 1 mata - di belakang Lebanon (7 mata), Korea Utara (2 mata) dan Hong Kong (2 mata). Lebanon dan Hong Kong sudah beraksi tiga perlawanan manakala Korea Utara dan Malaysia baru beraksi dua perlawanan.

 Bagi perlawanan berikutnya, Malaysia akan bertemu Korea Utara di Pyongyang pada 5 Oktober dan Hong Kong di gelanggang lawan pada 10 Oktober ini.

 

MALAYSIA: 23-Hafizul Hakim Khairul Nizam; 15-Rizal Ghazali, 5-Shahrom Kalam, 17-Aidil Zafuan Abd Radzak, 21-Nazirul Naim Che Hashim; 18-Kiko Insa; 7-Baddrol Bakhtiar (12-Akram Mahinan 90'+2), 6-Amirulhadi Zainal (9-Ahmad Hazwan Bakri 61'), 8-Safiq Rahim (C), 16-Syazwan Zainon (19-Wan Zack Haikal Wan Nor 85'); 10-Darren Lok.

HONG KONG: 1-Yapp Hung Fai (C); 14-Jack Sealy, 5-Jean-Jacques Kilama, 3-Festus Baise, 4-Helio; 7-Chan Siu Ki (21-Wong Wai 46'), 10-Lam Ka Wai (16-Tan Chun Lok 68'), 6-Huang Yang (8-Itaparica 86'), 22-Jaimes McKee; 11-Alex Akande, 9-Sandro.

Pengadil: Christopher Beath (AUS)