KUANTAN RANGERS FC & SELANGOR UNITED MPSJ BERJAYA ISI DUA SLOT KE LIGA FUTSAL KEBANGSAAN (LFK) 2018

2018-01-29

Kuantan Rangers FC dan Selangor United MPSJ muncul dua pasukan terbaik kategori lelaki dari kalangan 18 pasukan bertanding pada Kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 yang berlangsung selama empat hari di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam bermula Khamis lalu (25 Januari 2018).

Kuantan Rangers FC kendalian Faizul Abdul Ghaffar menjuarai Kumpulan B dengan enam mata maksimum selepas membelasah Kota Bharu-PKB 11-1 pada Khamis dan PST-IIUM Mustangs 3-1 pada Jumaat.

Pada Ahad, Kuantan Rangers FC meneruskan kemaraan selepas menewaskan KL Marcerra United 3-1 pada suku akhir dan mengesahkan tempat ke LFK 2018 selepas mengatasi Kedah 3-0 pada separuh akhir.

Selangor United MPSJ pula yang dibimbing Mohd Fairuz Mohd Noor turut meraih enam mata maksimum ketika menjuarai Kumpulan F dengan membenam Kuantan Rangers B-20 dengan jaringan 6-1 pada Khamis dan Negeri Sembilan 5-3 pada Sabtu.

Pada Ahad, Selangor United MPSJ berjaya mengatasi Poly FC 5-2 pada suku akhir sebelum menewaskan Selangor UiTM FC 7-3 pada separuh akhir untuk mengisi satu lagi slot ke LFK 2018.

Dengan kejayaan itu, Kuantan Rangers FC dan Selangor United MPSJ melengkapkan senarai 10 pasukan kategori lelaki bagi LFK 2018 bersama-sama juara musim lalu - Melaka, Felda United, Pahang, KL City FC, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu FC dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) FC.

Sementara itu, bagi kategori wanita, empat pasukan iaitu Negeri Sembilan, Sabah, KL Imigresen FC dan Selangor United MPSJ berjaya melayakkan diri ke LFK 2018 selepas muncul empat pasukan terbaik daripada enam pasukan yang bertanding pada saingan kelayakan kali ini.

Kumpulan A menyaksikan Negeri Sembilan muncul juara dengan empat mata diikuti KL Imigresen FC di tangga kedua, juga dengan empat mata manakala Tanjung Che Mas FC dari Kelantan di tangga ketiga tanpa sebarang mata.

Kumpulan B pula menyaksikan Sabah muncul juara dengan empat mata diikuti Selangor United MPSJ di tangga kedua, juga dengan empat mata manakala Kelantan di tangga ketiga tanpa sebarang mata.

Empat pasukan ini bakal menyertai empat lagi pasukan yang telah pun layak iaitu juara bertahan - Felda United, Perak, PDRM dan Sarawak bagi melengkapkan senarai lapan pasukan yang bakal bertanding pada LFK 2018.

Saingan LFK 2018 bagi kategori lelaki dan wanita ini dijadual bermula pada 24 Februari ini.