LFK 2017: MELAKA, FELDA UNITED TERUS BERSAING REBUT KEJUARAAN KATEGORI LELAKI

2017-04-29

Melaka berjaya membelasah T-Team 9-2 pada hari pertama Sirkit 8 Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, hari ini untuk terus kekal sebagai pendahulu kategori lelaki yang kini hanya berbaki tiga lagi perlawanan.

 Bagaimanapun juara bertahan, Felda United kekal ketinggalan empat mata di tangga kedua selepas turut berjaya meraih kemenangan dengan menewaskan pasukan kedua tercorot, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 5-4.

 "Sudah kami jangka, pasukan seperti T-Team ini mampu membuat kejutan awal apabila kami ketinggalan 2-0 menerusi beberapa kesilapan sebelum akhirnya berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 pada separuh masa pertama.

 "Ketika rehat separuh masa, saya beritahu pemain untuk mengubah sedikit taktikal permainan dan alhamdulillah pemain berjaya melaksanakan tugas dengan baik untuk kami bangkit pada babak kedua dan mencipta kemenangan besar.

 "Bagi perlawanan esok dan baki dua lagi aksi pada Sirkit 9, kami tetap anggap kami 'underdog' dan akan beri seratus peratus fokus tidak kira berdepan pasukan bawahan, pertengahan mahupun pesaing terdekat," kata jurulatih Melaka, Mohamad I'sah Abd Rahim ketika ditemui selepas perlawanan.

 Selepas 13 perlawanan, Melaka terus selesa di tangga teratas dengan 37 mata diikuti Felda United kendalian Addie Azwan Zainal dengan 33 mata dan Pahang bimbingan Mohd Yazeed Hamzah yang tidak beraksi hari ini kekal di tangga ketiga dengan 28 mata.

 KL City FC kendalian Jerry Dinesh pula mengukuhkan kedudukan di tangga keempat selepas berjaya menewaskan pasukan tercorot, KL Petaling Putra FC 6-1 untuk mengumpul 21 mata.

 Sementara Perak berjaya merampas kedudukan tangga kelima daripada Kuala Lumpur TPD selepas mencatat kemenangan tipis 5-4 ke atas lawan tersebut.

 Hari kedua Sirkit 8 akan bermula jam 11 pagi esok dengan Pahang bertemu MBPP diikuti Perak bertemu T-Team (12.30 tengah hari), Felda United bertemu KL City FC (2.00 petang) dan Melaka bertemu KL Petaling Putra FC (3.30 petang).

 

KEPUTUSAN HARI PERTAMA SIRKIT 8

 

(Kategori Lelaki)

 

PERAK 5

Mohd Awalludin Mat Nawi 11' 12' 13'

Muhammad Razin A Rahim 34'

Mohd Fairooz Amannijas 38'

KUALA LUMPUR TPD 4

Dzulkamal Ariffin Md Ruzi 8' 18'

Muhammad Aliff Mohd Roslan 9'

Muhammad Asadullah Mohd Nadzri 16'

 

FELDA UNITED 5

Muhammad Akmal Yazadh Amri 6'

Mohd Azwann Ismail 11'

Syed Aizad Daniel Syed Nasir 22'

Muhammad Addli Che Husin 23'

Muhammad Azri Rahman 28'

MBPP 4

Iskandar Idris 26'

Mohd Fadzil Ahmad 30'

Muhammad Amirul Ismail 36'

Sharizuan Ibrahim 37'

 

MELAKA 9

Ali Imran Hasan 9'

Muhammad Saad Sani 14'

Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin 24' 31' 32' 39'

Abu Haniffa Hasan 30'

Muhammad Awaluddin Hassan 35'

Saiful Nizam Mohamad Ali 40'

T-TEAM 2

Ahmad Jazlan Jalil 6' 8'

 

KL PETALING PUTRA FC 1

Abdul Ghani Azri Mohd Fadhil Libon 28'

KL CITY FC 6

Muhammad Muzhaffar Mohd Tahar 11'

Mohamad Fadzil Ab Karnim 20'

K Yakish Rao 21'

Mohammad Fadilah Rajkafor 28'

Hazizi Mansor 32'

Muhammad Farhan Khairul Anuar 40'

 

 

* Langgan saluran rasmi youtube FAMTV bagi mengikuti video sedutan gol perlawanan LFK 2017: https://www.youtube.com/channel/UC20vnIGa_W4ofoLtKKzhvfA