LIGA BOLASEPAK PEREMPUAN KPM/PPBN/FAM B-16: SEKOLAH SUKAN MALAYSIA SABAH KUASAI CARTA SIRKIT PERTAMA

 2016-11-21

 Sekolah Sukan Malaysia Sabah memulakan kempen Liga Bolasepak Perempuan KPM/PPBN/FAM bawah 16 tahun (B-16) dengan langkah kanan apabila menguasai carta pada sirkit pertama setelah meraih tiga kemenangan.

 Sirkit pertama yang diadakan di Pulau Pinang dari 18 hingga 20 November lalu menyaksikan pasukan kendalian ketua jurulatih Zhang Hong mengutip sembilan mata penuh selepas membelasah Sekolah Sukan Negeri Terengganu 12-1, Sekolah Sukan Negeri Sembilan 10-0 dan menewaskan Sekolah Sukan Negeri Selangor 3-0.

 Mengekori rapat di tangga kedua merupakan Sekolah Sukan Negeri Pahang dengan tujuh mata setelah mengatasi Sekolah Sukan Negeri Sabah 1-0, Sekolah Sukan Negeri Perak 2-0 sebelum terikat 2-2 dengan Sekolah Sukan Negeri Johor.

 Sekolah Sukan Negeri Selangor, Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang, Sekolah Sukan Negeri Melaka dan Sekolah Sukan Negeri Sembilan pula masing-masing terpaksa akur berkongsi kedudukan dengan enam mata.

 Sirkit kedua akan berlangsung di Pahang dari 17 hingga 19 Februari tahun depan manakala sirkit ketiga dan terakhir akan dilangsungkan di Johor dari 17 hingga 19 Mac tahun depan.