MAJLIS UNDIAN PIALA FAM, PIALA PRESIDEN & PIALA BELIA 2018

2018-02-04

Majlis undian bagi Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia 2018 telah berlangsung di Acappella Suite Hotel, Shah Alam, hari ini dengan dihadiri Exco FAM, Mohd Firdaus Mohamed selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM serta ahli-ahli jawatankuasa berkenaan - Datuk Yadzan Mohamad, Marzuki Sulong dan Dato' Azril Mat Drus.

Bagi saingan Piala FAM 2018, Kumpulan A diketuai semifinalis musim lalu - Shahzan Muda FC; dua pasukan yang kandas pada suku akhir musim lalu - MOF FC dan Kuching FA; pasukan yang turun dari saingan Liga Premier musim lalu - ATM serta tiga lagi pasukan dari saingan musim lalu iaitu MPKB BRI - UBES FC, KS DBKL serta Selangor United, nama baharu bagi pasukan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor.

Kumpulan B pula diketuai dua pasukan yang kandas pada suku akhir musim lalu - Terengganu City FC dan Petaling Jaya Rangers; pasukan yang turun dari saingan Liga Premier musim lalu - Perlis; tempat keenam Kumpulan A musim lalu - Hanelang FC serta tiga pasukan baharu iaitu D'AR Wanderers FC, Young Fighters FC dan Marcerra United.

Tiga pasukan musim lalu - KDMM FC, SAMB FC dan Penjara FC tidak mengambil bahagian musim ini.

Terdapat sedikit perubahan pada format saingan Piala FAM 2018 apabila hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan selepas mengharungi 12 perlawanan peringkat kumpulan (home & away) akan mara ke peringkat kalah mati iaitu separuh akhir secara timbal balik, berbanding format musim-musim sebelum ini iaitu empat pasukan teratas layak ke suku akhir.

Dua pemenang perlawanan separuh akhir itu akan layak automatik ke Liga Premier 2019 dan juara Piala FAM 2018 akan ditentukan pada perlawanan akhir yang akan berlangsung di gelanggang berkecuali ditetapkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Sementara itu, format pertandingan bagi Piala Presiden 2018 dan Piala Belia 2018 kekal seperti musim lalu iaitu dibahagikan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan teratas setiap kumpulan (selepas mengharungi 20 perlawanan home & away) akan layak ke peringkat kalah mati - suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir.

Cuma yang berbeza musim ini, hanya perlawanan suku akhir dan separuh akhir diadakan secara timbal balik manakala perlawanan akhir di gelanggang berkecuali ditetapkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Bagi saingan Piala Presiden 2018, juara bertahan Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dua semifinalis musim lalu - Kelantan dan Kedah serta lima pasukan musim lalu dan juga tiga pasukan baharu - MISC-MIFA, Perlis dan Selangor United.

Kumpulan B pula membariskan naib juara musim lalu - Terengganu yang tampil dengan nama baharu - Terengganu FC III serta 10 pasukan lama yang sama-sama beraksi pada musim lalu antaranya dua pasukan yang kandas pada suku akhir - Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Bagi saingan Piala Belia 2018, juara bertahan Kedah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama dua pasukan baharu - UiTM FC dan SSMP-AMD Panthers B-16 serta lapan pasukan lama musim lalu.

Kumpulan A pula diketuai semifinalis musim lalu - Terengganu yang tampil dengan nama baharu - Terengganu FC IV serta tujuh pasukan lama musim lalu dan juga tiga pasukan baharu - PKNP FC, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-16 dan SSMP-AMD Cougars B-16.

Naib juara musim lalu - SSMP B-17 tidak mengambil bahagian musim ini bersama-sama pasukan SSTMI B-16.

Saingan Piala Belia 2018 akan bermula pada Rabu, 21 Februari diikuti Piala Presiden 2018 pada Khamis, 22 Februari dan Piala FAM 2018 pada Ahad, 25 Februari 2018.