MALAYSIA JUARA KEJOHANAN BOLA SEPAK PANTAI ANTARABANGSA BUSAN KE-2 DI KOREA SELATAN

2017-09-18

Skuad bola sepak pantai kebangsaan kendalian penolong jurulatih, Mohd Saiful Md Noor muncul juara Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa Busan Ke-2 selepas menewaskan Awesome Club dari China 6-3 pada perlawanan akhir di Pantai Songdo, Busan, Korea Selatan, petang semalam.

 Terdahulu pada sebelah paginya, Malaysia menewaskan kelab dari Korea Selatan, Unknown 8-2 pada suku akhir sebelum menyingkirkan kelab dari Jepun, BSC pada separuh akhir menerusi kemenangan 4-3 pada penentuan sepakan penalti selepas terikat 4-4.

 Pada hari pertama kejohanan pada Sabtu, Malaysia muncul juara Kumpulan D selepas mudah menewaskan dua kelab tempatan, Busan Transportation Corporation 5-0 dan Songdo Baby FC 6-1.

 Selaku juara kejohanan, Malaysia membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak 3 juta Won (RM11,129) sementara Awesome Club muncul naib juara, BSC di tempat ketiga dan wakil Thailand, PTU di tempat keempat.

 Dua pemain Malaysia turut memenangi anugerah individu iaitu Ridhwan Zainal sebagai pemain paling bernilai (MVP) manakala Fakhrullah Mohamad selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol.

 Kejohanan disertai 18 pasukan melibatkan enam pasukan luar - Malaysia, PTU (Thailand), Awesome Club (China), BSC (Jepun), Manila All-Star (Filipina) dan Vietnam FC (Vietnam) serta baki 12 pasukan lain adalah kelab tempatan Korea Selatan.

 Mohd Saiful mengendalikan pasukan Malaysia untuk kejohanan jemputan ini memandangkan ketua jurulatih, Ismail Zakaria yang juga Ketua Unit Kejurulatihan FAM tidak dapat bersama pasukan kerana sedang mengendalikan Kursus Kejurulatihan Lesen C selama dua minggu di UPM, Serdang.

 

SENARAI 10 PEMAIN SKUAD BOLA SEPAK PANTAI MALAYSIA:

AJASNI PARMAN (PG), NAZRI SULAIMAN (PG), ZAHARIM YUSOF, RIDUWAN MOHD NOR, FAKHRULLAH MOHAMAD, FAKHRUDDIN MOHAMAD, QUSHAIRI ASSARI, RIDHWAN ZAINAL, SHAFIQ RIZA HUZAIR, AMINULLAH ABD RAZAB.