MALAYSIA JUARA KEJOHANAN PEMBANGUNAN BOLA SEPAK WANITA SINGAPURA 2017

2017-02-19

Setelah melakar dua kemenangan, skuad wanita Malaysia kendalian Asyraaf Abdullah muncul juara Kejohanan Pembangunan Bola Sepak Wanita Singapura 2017, malam tadi.

 Pada perlawanan terakhir menentang tuan rumah, Singapura di Stadium Jalan Besar, pasukan kebangsaan bermula garang apabila pemain sayap kiri berpengalaman, Dadree Rofinus merembat kencang untuk menjaringkan gol pendahuluan seawal minit pertama permainan.

 Skuad wanita Harimau Malaysia terus mengasak kubu pertahanan Singapura bimbingan Yeong Sheau Shyan dan berjaya menggandakan jumlah gol melalui jaringan penyerang berusia 21 tahun, Nur Haniza Saarani yang bijak menyudahkan peluang di hadapan gol pada minit ke-6.

 Gol ketiga Malaysia terhasil menerusi gol sendiri pasukan lawan hasil sepakan sudut melencong bek kiri, Shereilynn Elly Pius yang mengkucar-kacirkan pertahanan Singapura pada minit ke-21 untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir 3-0.

 Bersambung babak kedua, pasukan negara melancarkan serangan bertali arus memburu gol dan ianya membuahkan hasil pada minit ke-78 menerusi sepakan deras Haniza untuk jaringan kedua peribadinya.

 Sementara itu, Haniza dan pemain Singapura, Raudhah Kamis berkongsi anugerah Penjaring Terbanyak Kejohanan  setelah masing-masing meledak dua gol manakala ketua pasukan Malaysia, Masturah Majid dinobat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

 Sebagai rekod, skuad wanita Harimau Malaysia menumpaskan Bangladesh 2-1 di venue yang sama semalam (17 Februari 2017) manakala Singapura menang 3-0 ke atas Bangladesh pada hari pertama kejohanan (16 Februari 2017).

 

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD WANITA HARIMAU MALAYSIA, ASYRAAF ABDULLAH

“Saya gembira kerana walaupun pemain-pemain keletihan, mereka bermain dengan efektif dan penuh keyakinan untuk menghantar bola. Saya juga berpuas hati dengan keputusan menang 4-0 serta persembahan baik daripada pemain-pemain muda kita.

“Selepas membuat analisis kemenangan Singapura ke atas Bangladesh tempoh hari, para pemain mengikut setiap arahan daripada barisan kejurulatihan pada perlawanan malam ini.

“Pada perlawanan menentang Bangladesh, kita menggunakan formasi 4-1-4-1 kerana penyerang dan pemain tengah mereka pantas. Malam ini, (menentang Singapura) formasi kita 4-4-2 kerana saya tahu kelemahan pasukan Singapura; penjaga gol mereka mempunyai sedikit masalah dengan sepakan gol manakala dua penyerang kita ditugaskan untuk memberi tekanan kepada kedua-dua bek tengah mereka.”