NATIONS CUP 2016: MALAYSIA B-21 3-0 SINGAPURA B-21

2016-06-03

Skuad B-21 (bawah 21 tahun) kebangsaan kendalian ketua jurulatih, Frank Bernhardt berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan Nations Cup 2016 setelah menumpaskan Singapura B-21 3-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 menerusi pemain sayap, Muhammad Safawi Rasid setelah penjaga gol Singapura, Zhafran Rohaizad gagal menangkap kemas sepakan percuma penyerang, Jafri Firdaus Chew.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus garang menambah jaringan pada minit ke-52 apabila penyerang, Muhammad Shafiq Ahmad menolak mudah bola ke gawang lawan susulan daripada kesilapan Zhafran.

Nur Shamie Iszuan Amin menambah duka pasukan pelawat setelah menyudahkan hantaran lintang Farhan Roslan pada minit ke-83 dengan kedudukan selesa itu kekal sehingga wisel penamat.

Aksi final kejohanan empat penjuru itu akan menyaksikan Malaysia bertemu Thailand tatkala Vietnam akan menentang Singapura pada penentuan tempat ketiga dan keempat, Ahad ini di Stadium Hang Jebat, Melaka.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD MALAYSIA B-21, FRANK BERNHARDT

“Saya berpuas hati dengan persembahan pada 20 minit pertama di mana gol pendahuluan telah memberikan keyakinan kepada para pemain. Namun, saya lihat kita terlalu mudah hilang kawalan bola dan tidak berjaya menguasai permainan. Secara keseluruhan, kita mampu mempamerkan corak permainan yang lebih baik lagi.

“Saya tahu pasukan Thailand adalah sebuah pasukan yang sangat teratur. Bagaimanapun, kita akan berusaha untuk mencari jalan merobek pertahanan mereka. Jika kita boleh memperbaiki beberapa kelemahan pada malam ini, kita mempunyai peluang yang baik untuk memenangi kejohanan ini.”