PERLAWANAN ANTARABANGSA: MALAYSIA B-23 2-0 UAE B-23

2018-08-11

Skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas UAE B-23 pada perlawanan persahabatan antarabangsa kedua dan terakhir menjelang Sukan Asia 2018 Indonesia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas dikumpulkan untuk kem latihan pusat bermula 30 Julai lalu, skuad B-23 kebangsaan telah ke Changzhou, China bagi aksi persahabatan pertama yang berkesudahan mereka tewas tipis 2-1 kepada China B-23 pada 5 Ogos lalu.

Bagi aksi malam tadi, Kim Swee mengekalkan kesebelasan sama ketika aksi di Changzhou itu kecuali menurunkan penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim menggantikan tempat Haziq Nadzli.

Gol pertama Malaysia terhasil pada minit ke-27 apabila Safawi Rashid melakukan penyudah kaki kiri dalam kotak penalti selepas menerima bola lorongan daripada pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, jurulatih UAE, Maciej Skorza melakukan pertukaran drastik bermula separuh masa kedua dengan menukar 10 pemainnya kecuali pemain pertahanan tengah, Salem Sultan Alsharji sementara Kim Swee masih mengekalkan kesebelasan sama.

Pada minit ke-52, Malaysia hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma mengelirukan daripada Nik Akif yang bagaimanapun sempat diselamatkan penjaga gol gantian UAE, Mohamed Hasan Al Shamsi di atas garisan gol.

Malaysia akhirnya berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-64 apabila Akhyar Rashid yang menerima lorongan bola daripada Syazwan Andik Ishak telah berjaya mengatasi dua pemain pertahanan UAE sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Mohamed Hassan.

Pada masa kecederaan, berpunca kekasaran dilakukan Mohamed Khalfan Al Harasi ke atas Adib Zainudin telah menyebabkan pergaduhan tercetus membabitkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan sehingga memaksa pengadil, Suhaizi Shukri terus meniup wisel panjang bagi menamatkan perlawanan.

Skuad B-23 kebangsaan akan berlepas ke Indonesia pada Isnin ini (13 Ogos) bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2018 yang bakal bermula pada 15 Ogos ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen bertemu Republik Kyrgyz pada 15 Ogos dan Republik Korea pada 17 Ogos, kedua-dua perlawanan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung sebelum aksi terakhir kumpulan berdepan Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang pada 20 Ogos.

 

MALAYSIA B-23: 22-Ifwat Akmal Chek Kassim (23-Khatul Anuar Md Jalil 84'); 14-Dominic Tan (2-Adib Zainudin 84'), 17-Irfan Zakaria, 9-Adam Nor Azlin (3-Syazwan Zaipol Bahari 80'); 15-Rizal Ghazali, 7-Baddrol Bakhtiar (C), 8-Nik Akif Syahiran Nik Mat (5-Syahmi Safari 72'), 21-Syazwan Andik Ishak; 11-Safawi Rasid (13-Tommy Mawat Bada 80'), 20-Syafiq Ahmad (19-Kogileswaran Raj 72'), 18-Akhyar Rashid (6-Faisal Abdul Halim 72').

UAE B-23: 17-Abdulrahman Al Amri (22-Mohamed Hasan Al Shamsi 46'); 29-Rashid Mohamed Omar (12-Khalid Ibrahim Hilal 46'), 23-Hamad Jasem (3-Ahmed Rashid Sultan 46'), 4-Salem Sultan Alsharji (C), 5-Ismail Khalid Khamis (2-Abdulla Hasan Al Noobi 46'); 24-Mohamed Khalfan Masmari (8-Mohamed Khalfan Al Harasi 46'), 6-Majed Ibrahim Sorour (14-Abdul Basit 46'), 20-Hussein Abdulla (19-Mohamed Omar Al Attas 46'), 27-Zayed Al Ameri (10-Jasem Yaqoob Al Blooshi 46'); 21-Khalid Abdulrahim Bawazir (7-Ahmed Mohamed Al Attas 46'), 16-Ali Aid (26-Shaheen Sorour Al Darmaki 46').

Pengadil: Suhaizi Shukri (Malaysia)