PERSAHABATAN ANTARABANGSA "A": MALAYSIA 0-0 MACAU

2016-03-30

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee mencatat keputusan seri 0-0 dengan Macau pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A' di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

 Biarpun menguasai hampir 70 peratus perlawanan, skuad Harimau Malaysia yang kini menghuni ranking ke-166 dunia gagal menembusi kekebalan benteng Macau, ranking ke-195 dunia yang dibimbing jurulatih Tam Iao San.

 Pada separuh masa pertama, antara percubaan terbaik skuad Harimau Malaysia ialah menerusi sepakan kaki kanan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dari luar kotak penalti pada minit ke-26 yang ditepis penjaga gol Macau, Ho Man Fai.

 Peluang terbaik Harimau Malaysia untuk membuka jaringan kemudian hadir pada minit ke-38, namun rembatan kaki kiri pemain sayap, Nazrin Nawi ditepis Man Fai lalu menggegar tiang dan Norshahrul lewat untuk menyambar.

 Selepas terus mencuba pada babak kedua, deretan peluang terus terhidang buat skuad Harimau Malaysia menuju 10 minit terakhir permainan.

 Pada minit ke-79, sepakan percuma Hafiz Kamal berjaya ditepis Man Fai dan empat minit berselang, sepakan percuma Hafiz yang ditanduk terbang kapten, Amri Yahyah pula berjaya ditampan penjaga gol Macau itu.

 Peluang terakhir Harimau Malaysia pada masa kecederaan menyaksikan sepakan percuma cantik kaki kiri oleh Hafiz sekadar menggegar palang gol Macau untuk perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.

Pada perlawanan malam tadi, Kim Swee merehatkan beberapa pemain seperti penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, kapten Safiq Rahim, S Kunanlan dan Shahrul Saad yang beraksi ketika skuad kebangsaan tewas 2-0 kepada Arab Saudi pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah, 24 Mac lalu.

 

MALAYSIA: 23-Izham Tarmizi Roslan, 2-Matthew Davies (18-Wan Zack Haikal Wan Nor 46'), 5-Shahrom Abdul Kalam, 4-Fadhli Shas, 7-Nazirul Naim Che Hashim (6-Yong Kuong Yong 21'), 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 11-Baddrol Bakhtiar (3-Brendan Gan 74'), 10-Nazmi Faiz Mansor (21-Hafiz Kamal 46'), 13-Nazrin Nawi (14-Amirul Hisyam Awang Kechik 63'), 17-Amri Yahyah (KP), 9-Norshahrul Idlan Talaha (19-Joseph Kalang Tie 79').

MACAU: 1-Ho Man Fai, 7-Chan Man, 8-Cheang Cheng Ieong (KP), 23-Pilipe Miguel, 3-Lei Chi Kin, 24-Leong Tak Wai (13-Lee Keng Pan 46'), 6-Lao Pak Kin (2-Lei Ka Him 89'), 12-Ho Chi Fung (16-Kam Chi Hou 69'), 14-Edgar Teixeira, 21-Pang Chi Hang (4-Vernon Wong 90+7), 9-Leong Ka Hang.

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Kita mencipta banyak peluang tetapi apabila tidak dapat menjaringkan gol, itu menyebabkan kita gagal mendapatkan kemenangan.

 "Bagi saya, kita sudah cuba mendapatkan gol dengan beberapa gerakan menarik dapat dilakukan tetapi bahagian penyudah mengecewakan.

 "Namun kita boleh nampak satu permainan yang berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan-perlawanan terdahulu.

 "Ya, memang saya tak boleh terima keputusan seri ini. Pemain pun sama dan lebih-lebih lagi penyokong. Saya faham penyokong mahukan kemenangan, sama juga seperti kami. Apa yang kita lakukan tidak mencukupi.

 "Jadi kita perlu perbaiki lagi terutama persembahan kita dan saya harap menjelang playoff Kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun ini, kita ada ruang waktu yang panjang untuk persiapan dan tidak mengambil mudah mana-mana pasukan."