PERSAHABATAN ANTARABANGSA: MALAYSIA B-22 1-1 NEPAL

2016-03-28

Skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian ketua jurulatih Frank Bernhardt mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan kebangsaan Nepal di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Bernhardt melakukan sedikit rombakan kepada kesebelasan utama yang membelasah Filipina bawah 22 tahun (B-22) 4-1 tempoh hari dengan menurunkan Raphi Azizan Mariappen, Arif Fadzilah Abu Bakar, Mohd Shahrul Hakim Rahim, Mohd Zarulizwan Mazlan dan N Thanabalan.

Bharat Khawas terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-36 untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada babak pertama.

Pemain gantian, Arif Anwar muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-86 setelah menyudahkan hantaran kemas Mohd Shahrul Hakim Rahim.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017, FRANK BERNHARDT

"Babak pertama agak sukar bagi kami di mana pasukan terpaksa menyesuaikan diri dengan kepantasan dan juga kualiti pasukan senior antarabangsa. Walau bagaimanapun, pemain-pemain berjaya menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua setelah melakukan sedikit pertukaran. 

"Saya berpuas hati dengan persembahan para pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi. Pada separuh masa kedua, beberapa pemain yang baru berusia 18 & 19 tahun turut berjaya bersaing untuk meraih keputusan seri.

"Kami hilang banyak penguasaan bola di bahagian tengah dan ia menyukarkan pasukan untuk mencari rentak pada separuh masa pertama dengan pasukan Nepal menggunakan ramai pemain untuk menyerang.

"Latihan pusat yang seterusnya akan diadakan pada penghujung bulan Mei bagi menghadapi kejohanan empat penjuru bawah 21 tahun dari 3 hingga 5 Jun yang bakal disaingi Vietnam, Thailand dan Singapura.