PERSAHABATAN ANTARABANGSA: MALAYSIA B22 4-1 FILIPINA B22

2016-03-24

Skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian ketua jurulatih Frank Bernhardt membelasah Filipina Bawah 22 tahun (B-22) 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa sulung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Tampil dengan formasi 4-2-3-1, Malaysia memecah kebuntuan seawal minit ke-18 hasil rembatan deras pemain pertahanan, Muhammad Arif Farhan Isa. Penyerang, S Kumaahran menjaringkan gol kedua skuad negara pada minit ke-29 selepas menyudahkan hantaran lintang pemain sayap kanan, Nur Syamie Iszuan Amin.

Babak kedua, N Thanabalan menambah duka Filipina hasil sepakan percuma Farhan Roslan pada minit ke-65. Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-73 hasil jaringan John Christopher Kanayama.

Farhan Roslan kemudiannya melengkapkan kemenangan selesa Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 selepas Muhammad Syafiq Ahmad dikasari pemain Filipina.

Skuad B-22 negara bakal bertemu pasukan kebangsaan Nepal di venue yang sama, Ahad ini (9 malam).

MALAYSIA B-22:
Haziq Nadzli (Amierul Hakimi 59’), Arif Farhan (Danish Haziq 72’), Khairil Anuar, Jafri Firdaus Chew (Syafiq Ahmad 45’), S Kumaahran (Firdaus Saiyadi 59’), Arif Fadzilah, Shah Amirul, Syamie Iszuan (N Thanabalan 59’), Faris Shah, Adib Zainuddin (Rodney Calvin 45’), Safawi Rasid (Farhan Roslan 63’)

FILIPINA B-22:
Ronilo Bayan (Michael Asong 60’), Jerome Marzan (Rey Torre 52’), Marco Casambre, Charlie Beaton (Lorenzo Genco 57’), Earl Laguerta, Terrence Linatoc (Jay-R Bucayan 65’), Richard Talaroc, Junell Bautista, Jaime Cheng, John Kanayama, James Oberiano. 

FOTO KREDIT: ASIANA.MY

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD PROJEK SUKAN SEA 2017, FRANK BERNHARDT

"Bagi saya, pasukan berjaya memberi persembahan yang baik pada separuh masa pertama dengan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol. Kami membuat beberapa perubahan pada separuh masa kedua dan pasukan kehilangan sedikit rentak permainan.

"Walau bagaimanapun, pujian harus diberi kepada para pemain kerana mereka tidak berputus asa dan terus cuba untuk menjaringkan gol hingga wisel tamat perlawanan. Ia merupakan perlawanan ujian pertama yang baik.

"Kami menunjukkan bahawa pasukan mempunyai pemain yang bagus pada setiap posisi dan para pemain telah membuktikan kepada saya bahawa mereka memahami apa yang kami cuba terapkan dalam sesi latihan."