PERSAHABATAN ANTARABANGSA WANITA: MALAYSIA 2-0 SINGAPURA

2016-07-11

Skuad wanita negara kendalian ketua jurulatih, Asyraaf Abdullah menumpaskan Singapura 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa sulung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi.

Pemain tengah, Norsuriani Mazli menjaringkan gol pendahuluan buat Malaysia setelah menyudahkan umpanan Jaciah Jumilis pada minit ke-13 sekali gus menewaskan penjaga gawang Singapura, Noor Kusumawati Rosman.

Bersambung babak kedua, pasukan kebangsaan menambah jaringan menerusi ketua pasukan, Angela Kais pada minit ke-75 untuk kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.

Skuad Malaysia akan bertolak ke China bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan dari 15 hingga 19 Julai ini. Ia sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2016 yang bakal berlangsung di Mandalay, Myanmar dari 26 Julai hingga 4 Ogos.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD WANITA MALAYSIA, ASYRAAF ABDULLAH

“Ini ujian pertama bagi kami (lawan pasukan wanita) kerana sebelum ini kami mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan lelaki. Oleh kerana sudah terbiasa menentang pasukan lelaki, saya lihat keyakinan para pemain meningkat dan berjaya mempraktikkan taktikal ‘ball possession’ pada perlawanan malam ini.

“Bagi saya, perlawanan ini adalah perlawanan yang baik buat pasukan yang telah berjaya membuat beberapa gerakan menarik ketika menyerang. Bagaimanapun, terdapat kelemahan yang perlu kami perbaiki terutamanya dari aspek menyudahkan peluang yang terhidang.

“Selepas ini, kami akan menentang Guangdong FC yang juga merupakan antara pasukan mantap di liga bolasepak wanita China pada siri perlawanan persabahatan.”