PERSAHABATAN: FILIPINA B-22 0-0 MALAYSIA B-22

2016-12-09

Skuad Harimau Malaysia Bawah 22 (B-22) meraih keputusan seri 0-0 dengan pasukan Filipina B-22 pada aksi persahabatan di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam tadi.

Anak buah Frank Bernhardt itu tampil garang dengan corak serangan bertali arus pada separuh masa pertama dengan tandukan padu penyerang, Jafri Firdaus Chew hasil hantaran lintang S Kumaahran pada minit ke-26 berjaya ditepis keluar penjaga gol, Nathanael Villanueva.

Selang tiga minit kemudian, Villanueva sekali lagi pantas menepis keluar percubaan tepat pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri untuk kedua-dua pasukan kekal terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pasukan belia negara sekali lagi mendominasi permainan namun penyudah tumpul menyaksikan keputusan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.

Pada aksi membabitkan kedua-dua pasukan sebelum ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 23 Mac lalu, pasukan kebangsaan membelasah Filipina B-22 4-1.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD HARIMAU MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

“Jelas kami menguasai permainan pada babak pertama namun tidak mampu mencipta gerakan berbahaya untuk mendapatkan gol manakala pada separuh masa kedua pula kami ada beberapa peluang baik tetapi tidak menjaringkan gol dan saya fikir itu masalah dalam pasukan ini.

“Bagaimanapun, masalah utama adalah kecergasan pemain kerana mereka sedang bercuti (Liga Malaysia tamat). Mereka menyertai pasukan dalam keadaan tidak cergas dan kami perlu melatih mereka semula. Selepas 60 atau 70 minit permainan, saya perlu menukar pemain kerana mereka menghadapi masalah kekejangan otot.

“Saya tidak berpeluang untuk mengumpulkan pemain pada bulan Januari dan Februari manakala kalendar FIFA bermula pada Mac depan. Berdasarkan persembahan dan tahap kecergasan mereka pada malam ini, saya memerlukan masa untuk melakukan persiapan yang secukupnya.

“Bukan beberapa hari atau minggu tapi sekurang-kurangnya beberapa bulan. Selagi kalendar untuk tahun depan dan keputusan kelab (untuk melepaskan pemain) tiada, saya tidak begitu pasti. Kami sudah merangka perancangan namun jika tidak dapat menghimpunkan pemain semuanya hanyalah sia-sia sahaja.”