PERSAHABATAN: MALAYSIA B-22 2-0 BRUNEI

Skuad Harimau Malaysia Bawah 22 tahun (B-22) berjaya menumbangkan pasukan kebangsaan Brunei 2-0 pada aksi perlawanan antarabangsa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Tampil dengan formasi 4-2-3-1, skuad kendalian Frank Bernhardt bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan bertali arus namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan lawan untuk kedudukan pada separuh masa pertama berakhir 0-0.

Bersambung babak kedua, Malaysia memecah kebuntuan pada minit ke-74 menerusi jaringan penyerang, Syafiq Ahmad yang baru 10 minit dimasukkan tenang menyudahkan sepakan percuma Irfan Zakaria.

Syafiq kemudiannya melengkapkan kemenangan selesa skuad kebangsaan setelah memanfaatkan sepakan sudut pemain gantian, Syazwan Andik Ishak pada minit ke-84 untuk keputusan muktamad 2-0.

Perlawanan kedua dijadual berlangsung esok (8 Oktober) di venue yang sama pada pukul 5.15 petang dan tiada bayaran tiket dikenakan.

MALAYSIA B-22: Amierul Hakimi (GK) (Haziq Nadzli 46'), Adib Zainuddin (C), Dominic Tan, Arif Fadzilah Abu Bakar, Zarulizwan Mazlan (Syazwan Andik 72'), N Thanabalan (Arif Anwar 46'), Ahmad Khairil Anuar (Syafiq Ahmad 64'), Syahmi Safari (Zulkhairi Zulkeply 85'), Irfan Zakaria, Amirul Hisyam Awang Kechik (Danial Ashraf 78'), Jafri Firdaus Chew ( R Dinesh 81')

BRUNEI: Wardun (Mu'izzuddin 84'), Awangku (Shahme 40'), Reduan (Hairol 11'), Yura, Azwan, Najib (Yusof 78'), Hanif, Maududi (Shafie 62'), Rosmin Khamis (C) (Asnawi 46' (Ikhmal 74'), Azizi (Razimie 32' (Adi 52'), Shahrazen Said

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD HARIMAU MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

“Separuh masa pertama sukar bagi pasukan kita di mana pemain-pemain tidak berjaya mempamerkan corak permainan yang kita mahukan.

“Setelah membuat beberapa pertukaran pada separuh masa kedua, ia nyata membuahkan hasil dengan persembahan yang lebih baik menyaksikan dua peluang disudahkan oleh Syafiq Ahmad.

“Bagi perlawanan ini, kita sebenarnya tidak berpeluang untuk menurunkan enam atau tujuh pemain utama. Bagaimanapun, keadaan ini juga membuka ruang buat pemain-pemain muda kita untuk membuktikan kebolehan mereka.”