PERSAHABATAN: NEW CALEDONIA 1-2 MALAYSIA

2016-06-22

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mencatat kemenangan sulung dalam siri Jelajah Oceania 2016 selepas menewaskan New Caledonia 2-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stade Numa Daly, Noumea, malam tadi.

 Selepas tewas 2-0 kepada Papua New Guinea pada aksi pertama jelajah di Port Moresby, 17 Jun lalu, Malaysia dikejutkan gol pendahuluan New Caledonia, pasukan ranking ke-183 dunia menerusi Jean-Philippe Saïko pada minit ke-20 untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

 Namun Malaysia bangkit pada babak kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah kemas Amirulhadi Zainal pada minit ke-48 disusuli gol kemenangan jaringan Baddrol Bakhtiar menerusi sepakan percuma pada minit ke-54.

 Malaysia bagaimanapun terpaksa beraksi 10 pemain selepas Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dibuang padang akibat menerima kad kuning kedua kerana didakwa pengadil sengaja melengahkan permainan ketika pemain sayap itu mahu digantikan dengan S Chanthuru pada minit ke-82.

 New Caledonia kendalian Thierry Sardo kemudian turut terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Georges Béaruné menerima layangan kad kuning kedua pada minit ke-88.

 Skuad Harimau Malaysia seterusnya bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan aksi ketiga dan terakhir bertemu Fiji (ranking 186) di Nadi pada Ahad ini (26 Jun).

 

NEW CALEDONIA: 20-Thomas Schmidt (1-Dimitri Petemou 46'), 2-Judikael Ixoee (14-Jacky Meindu 80'), 12-Loic Wakanumuné (13-Jean-Brice Wadriako 46'), 18-Emile Béaruné, 3-Joseph Tchako (4-Georges Béaruné 71'), 10-César Zeoula, 8-Roy Kayara (19-Joseph Athale 61'), 7-Joël Wakanumuné, 17-Jefferson Dahite (5-Kevin Nemia 57'), 11-Bertrand Kaï (C), 9-Jean-Philippe Saïko.

MALAYSIA: 23-Izham Tarmizi Roslan, 16-S Kunanlan, 7-Aidil Zafuan Abd Radzak (C), 4-Fadhli Shas, 6-Fazly Mazlan, 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 3-Brendan Gan, 11-Baddrol Bakhtiar, 8-Zaquan Adha Abd Radzak (19-Christie Jayaseelan 39'), 21-Amirulhadi Zainal (17-Amri Yahyah 74') (15-Junior Eldstal 90+5'), 12-Ahmad Hazwan Bakri (14-Ahmad Fakri Saarani 71').

Pengadil: Mederic Lacour (New Caledonia)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Pemain bangkit pada babak kedua selepas mereka tahu pada separuh masa pertama, New Caledonia tidak memberi banyak ruang kepada kita.

 "Jadi ketika waktu rehat, saya beritahu pemain supaya mereka perlu lebih agresif dan cepat bergerak ke hadapan. Terbukti ia membawa banyak perubahan dan kita berjaya mendapatkan dua gol yang cukup baik daripada Amirulhadi dan sepakan percuma Baddrol.

 "Seperti saya katakan kepada mereka sewaktu rehat, New Caledonia, Papua New Guinea mahu pun Fiji yang akan kita hadapi selepas ini, mereka merupakan satu pasukan yang cukup baik bukan saja dari segi tubuh fizikal besar dan kekuatan tetapi turut mempunyai kelajuan.

 "Jadi kita harus belajar bermain seperti mana mereka bermain dan itu yang dapat dilihat pada separuh masa kedua apabila pemain bertambah yakin dan mereka mula bertambah positif. Itu yang membawa kita mencipta peluang-peluang dan akhirnya berjaya mendapatkan dua gol.

 "Mengenai pengadil, boleh dikatakan mutu pengadilan yang cukup mengelirukan di mana banyak insiden yang saya rasa tak harus diberikan kad kuning kepada pemain kita dan sepakan percuma kepada pasukan tuan rumah.

 "Ini semua satu pengajaran, bukan saja dari segi perlawanan tetapi untuk mengawal keadaan apabila pengadil cuba memprovokasi atau cuba melakukan perkara-perkara tertentu di mana kita harus belajar daripada semua kesilapan ini."