PIALA BELIA 2017: SSMP B-17, SSTMI B-17, TERENGGANU & KEDAH MELANGKAH KE SEPARUH AKHIR

2017-09-26

Naib juara musim lalu, Selangor gagal meneruskan langkah ke separuh akhir biarpun mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 pada perlawanan suku akhir kedua Piala Belia 2017, petang semalam.

 Pada aksi di Stadium Mini SSMP, Gambang itu, jaringan Muhammad Aidil Haziq Mohd Daman Huri pada minit ke-88 sudah terlewat buat anak buah V Yogeswaran menafikan kemaraan juara Kumpulan A, SSMP B-17 menerusi agregat 2-1 selepas skuad kendalian P Somansundram itu menang 2-0 pada aksi pertama di Sepang, Rabu lalu.

 Menanti SSMP B-17 pada separuh akhir ialah pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 yang mara dengan agregat 4-2 meskipun skuad kendalian M Kaviarasu itu sekadar mengikat Kuala Lumpur bimbingan Suhaimi Ismail 1-1 di Stadium Mini UPM, Serdang selepas membawa bekalan selesa menang 3-1 pada aksi pertama di Bandar Penawar.

 Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan Terengganu dengan pasukan yang kandas pada peringkat separuh akhir musim lalu, Kedah.

 Terengganu kendalian Subri Sulong mara menerusi agregat 3-2 biarpun tewas 1-0 kepada juara Kumpulan B, Felda United kendalian Azhar Abdul Rahman di Stadium Mini USIM, Nilai berbekal kemenangan 3-1 pada aksi pertama di Gong Badak.

 Kedah pula yang dibimbing Mohamad Ramlee mara dengan agregat 3-1 menerusi kemenangan 2-0 ke atas Perak kendalian Shahrul Nizam Khalil di Stadium Mini UUM, Sintok selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama di Tanjung Malim.

 Separuh akhir pertama bakal berlangsung pada Sabtu ini (30 September) dengan SSTMI B-17 menanti kunjungan SSMP B-17 manakala Kedah menerima kehadiran Terengganu. Aksi timbal balik separuh akhir kedua dijadual pada Khamis, 5 Oktober ini.

 

KEPUTUSAN SUKU AKHIR 2

ISNIN, 25 SEPTEMBER 2017

 

SSMP (B-17) 0

SELANGOR 1

Muhammad Aidil Haziq Mohd Daman Huri 88'

* SSMP (B-17) menang agregat 2-1

 

KUALA LUMPUR 1

Mohamad Izzuddin Mohd Roslan 23'

SSTMI (B-17) 1

Mohd Afiq Mohd Ridza 90'+1

* SSTMI (B-17) menang agregat 4-2

 

FELDA UNITED 1

Muhammad Azarul Nazarith Azhar 75'

TERENGGANU 0

* Terengganu menang agregat 3-2

 

KEDAH 2

Mohd Khairuddin Mohd Salleh 45'+1 85'

PERAK 0

* Kedah menang agregat 3-1