PIALA BELIA: KEDAH DIHIMPIT SABAH, S'GOR; FELDA UNITED JARAK MATA

2016-05-02

Saingan pusingan kedua Piala Belia 2016 yang bermula semalam menyaksikan Kedah dan Felda United mengekalkan kedudukan teratas Kumpulan A dan B selepas berjaya meraih tiga mata penuh ke atas lawan masing-masing.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah bimbingan jurulatih Roshidi Shaari bangkit daripada kekalahan sulung musim ini kepada Perak 3-2 di Stadium Mini Jitra minggu lalu apabila berjaya menewaskan lawan sama 3-1 di Stadium Mini SMK Gunung Rapat, Ipoh.

 Namun Kedah belum berkedudukan selesa apabila terus diekori rapat pasukan tangga kedua, Sabah kendalian Jelius Ating yang berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Padang Majlis Daerah Pekan.

 Turut memberikan cabaran ialah pasukan juara bertahan, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat yang berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Padang Merdeka, Port Dickson selepas mereka turut meraih kemenangan menewaskan Perlis 3-0 di Padang SUK, Shah Alam, Rabu lalu, perlawanan yang dipinda tarikhnya sebelum ini.

 Selepas 10 perlawanan, Kedah di tangga teratas dengan 25 mata diikuti Sabah 24 mata dan Selangor 23 mata manakala Pulau Pinang berjaya memintas kedudukan asal Perak di tangga keempat selepas mereka garang membelasah Perlis 7-0 di Stadium Mini UiTM Perlis, Arau.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian Khalid Shahdan naik satu kedudukan ke tangga keenam selepas membawa pulang satu mata apabila seri 2-2 dengan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

 Bagi saingan Kumpulan B, Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian kini berkelebihan empat mata di tangga teratas selepas berjaya menewaskan Johor Darul Ta'zim IV 1-0 di Stadium Mini UPM, Serdang untuk mengumpul 26 mata selepas 10 perlawanan menerusi lapan kemenangan, dua seri dan belum tewas.

 Pencabar terdekat, SSMP B-16 bimbingan P Somasundram tercicir mata apabila tewas 1-0 kepada Terengganu di Padang B, Akademi Mokhtar Dahari untuk kekal di tangga kedua dengan 22 mata tatkala pasukan tangga ketiga, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 turut tercicir mata apabila seri 1-1 dengan Melaka di Stadium Hang Tuah untuk mengumpul 20 mata.

 Kelantan yang kurang satu perlawanan pula berjaya naik ke tangga keempat dengan 17 mata selepas menewaskan penghuni kedudukan itu sebelum ini, Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan pasukan tercorot, ATM berjaya meraih mata sulung musim ini selepas menewaskan pasukan kedua tercorot, MISC-MIFA 1-0 di Stadium Mindef, Kuala Lumpur selepas aksi terakhir pusingan pertama minggu lalu yang tertangguh dan disambung semula Khamis lalu berjaya dimenangi MISC-MIFA 2-0.

 Perlawanan ke-11 akan berlangsung pada Ahad, 8 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SARAWAK 2

Mohd Nazri Daud 15' 50'

SSMP (B-17) 2

Muhammad Amirul Nizam Mohd Azmi 22'

Mohd Fikhri Zulkiflee 41'

 

PERAK 1

Muhammad Khairul Amizan Suhaimi 71'

KEDAH 3

Muhammad Fakhrul Aiman Md Noor 38'

Mohammad Alif Romli 59' 74'

 

PERLIS 0

PULAU PINANG 7

Muhamad Danial Arifin 8' 38'

Muhamad Aliff Syaamil Mohamad Suhaimi 12'

Mohamad Afif Azman 19' 34'

M Kavindran 42'

Muhammad Azam Abd Halim 50'

 

PAHANG 0

SABAH 1

Hamran Peter 90'

 

NEGERI SEMBILAN 0

SELANGOR 1

D Kugan 34'

 

KUMPULAN B

 

MELAKA 1

Amirul Syafiq Abdul Rahim 73'

SSBJ (B-17) 1

Muhamad Nazirul Hasif Mallang 8'

 

FELDA UNITED 1

Muhammad Fikri Abdul Rahim 68'

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 0

 

ATM 1

Mohammad Arasyh Syafiq Mohd Razif 43'

MISC-MIFA 0

 

KELANTAN 2

Mohammad Imran Samso 2'

Mohammad Farisfathullah Mohd Azam 76'

KUALA LUMPUR 0

 

SSMP (B-16) 0

TERENGGANU 1

Muhammad Al Qaffi Ali 16'