PIALA PRESIDEN 2017: KEDAH, SELANGOR, KELANTAN & TERENGGANU TERUS KEMARAAN KE SEPARUH AKHIR

2017-09-27

Juara bertahan, Kelantan berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir biarpun tewas 2-1 kepada juara Kumpulan B, Negeri Sembilan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Presiden 2017, petang semalam.

 Pada aksi di Stadium Mini USIM, Nilai itu, Kelantan kendalian Hashim Mustapha layak menerusi kelebihan gol di tempat lawan biarpun terikat agregat 2-2 selepas mereka menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan yang dibimbing Sazali Saidun pada aksi pertama di Kota Bharu, Khamis lalu.

Menanti Kelantan pada separuh akhir ialah naib juara Kumpulan A, Terengganu kendalian Mustaffa Kamal Abd Wahab yang berjaya menewaskan naib juara musim lalu, T-Team 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak untuk menyingkirkan skuad bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan itu dengan agregat 3-2.

 Sementara itu, juara Kumpulan A, Kedah di bawah kendalian Victor Andrag melangkah bergaya ke separuh akhir menerusi agregat 4-1 selepas menewaskan Kuala Lumpur bimbingan Khalid Shahdan 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

 Kedah bakal berdepan naib juara Kumpulan B, Selangor kendalian Omar Ali selepas semifinalis musim lalu itu berjaya menewaskan Johor Darul Ta'zim III bimbingan Ervin Boban 2-0 di Stadium Mini MP Sepang, Salak Tinggi untuk mara dengan agregat 2-0 selepas terikat 0-0 pada aksi pertama di Pasir Gudang.

 Separuh akhir pertama bakal berlangsung pada Ahad ini (1 Oktober) dengan Selangor menanti kunjungan Kedah manakala Terengganu menerima kehadiran Kelantan. Aksi timbal balik separuh akhir kedua dijadual pada Jumaat, 6 Oktober ini.

 

KEPUTUSAN SUKU AKHIR 2

SELASA, 26 SEPTEMBER 2017

 

KEDAH 2

Hidhir Idris 57' Zulfahamzie Tarmizi 88'

KUALA LUMPUR 1

Hafifi Salleh 61'

* Kedah menang agregat 4-1

 

SELANGOR 2

Azizul Baharuddin 64' Faizzudin Abidin 65'

JDT III 0

* Selangor menang agregat 2-0

 

NEGERI SEMBILAN 2

Fauzi Abdul Latif 31' G Durrkeswaran 73'

KELANTAN 1

Wan Azam Mazlan 51'

* Kelantan menang berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan selepas agregat 2-2

 

TERENGGANU 2

Al Imran Abd Aziz 40' Ridzuan Razali 90'+2

T-TEAM 1

Engku Nur Shakir Engku Yacob 10'

* Terengganu menang agregat 3-2