PIALA PRESIDEN 2017: KELANTAN, KEDAH IKAT TERENGGANU, SELANGOR AKSI SEPARUH AKHIR PERTAMA DI TEMPAT LAWAN

2017-10-03

Juara bertahan, Kelantan berjaya membawa pulang bekalan untuk aksi kedua di laman sendiri selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Presiden 2017, petang Ahad lalu.

 Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu, Kelantan kendalian Hashim Mustapha yang menyingkirkan juara Kumpulan B, Negeri Sembilan pada suku akhir berjaya mendahului menerusi jaringan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-73.

 Namun Terengganu bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab yang mengatasi naib juara musim lalu, T-Team pada suku akhir hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Aliff Fitri Jefri.

 Aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bakal berlangsung Jumaat ini (6 Oktober), sepak mula 8.45 malam.

 Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir pertama berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang semalam menyaksikan semifinalis musim lalu, Selangor kendalian Omar Ali terikat seri 0-0 dengan juara Kumpulan A, Kedah yang dibimbing Victor Andrag.

 Aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar turut akan berlangsung Jumaat ini, sepak mula 8.45 malam.

 Final timbal balik bagi saingan Piala Presiden 2017 dijadual pada 12 dan 19 Oktober ini.

 

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR 1

 

AHAD, 1 OKTOBER 2017

TERENGGANU 1

Aliff Fitri Jefri 75'

KELANTAN 1

Nik Akif Syahiran Nik Mat 73'

 

ISNIN, 2 OKTOBER 2017

SELANGOR 0

KEDAH 0