PIALA PRESIDEN: REKOD KELANTAN LEBUR, T-TEAM CICIR MATA

2016-05-02

Juara bertahan dan pendahulu Kumpulan A, Kelantan memulakan saingan pusingan kedua Piala Presiden 2016 dengan langkah kiri apabila rekod tanpa kalah mereka lebur tatkala pendahulu Kumpulan B, T-Team pula tercicir mata apabila seri pada perlawanan kesepuluh, petang tadi.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kelantan yang dibimbing Hashim Mustapha mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tewas tipis 1-0 kepada Felda United kendalian Sazali Saidun di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

 Keputusan itu menyaksikan Kelantan kini hanya berkelebihan satu mata di tangga teratas selepas pasukan tangga kedua, Terengganu kendalian Roshadi Wahab berjaya menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

 Johor Darul Ta'zim III pula mengekori rapat di tangga ketiga dengan hanya tiga mata di belakang Kelantan selepas skuad bimbingan Ervin Boban itu berpesta gol membelasah Perlis 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

 Kedah yang tercicir mata Khamis lalu kembali mengukuhkan kedudukan di tangga keempat selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan di Padang Merdeka, Port Dickson manakala UiTM FC meraih kemenangan kedua menewaskan pasukan tercorot, ATM 1-0 di Stadium Mindef, Kuala Lumpur.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, T-Team nyaris mengalami kekalahan kedua musim ini selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat pasukan tangga ketiga, PDRM 1-1 di Padang Utama Pulapol, Kuala Lumpur.

 T-Team yang dibimbing Mohd Nafuzi Zain bagaimanapun mengekalkan kelebihan empat mata di tangga teratas selepas pencabar terdekat, Perak turut tercicir mata apabila seri 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

 Pahang pula berjaya melonjak dua anak tangga ke kedudukan keempat selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium UKM, Bangi.

 Sabah berjaya keluar daripada kedudukan tercorot selepas menewaskan Melaka 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu untuk naik dua anak tangga ke kedudukan kelapan.

 Satu lagi perlawanan tidak dapat dilangsungkan iaitu pertemuan antara Selangor dan PKNS FC di Padang SUK, Shah Alam akibat hujan lebat dan petir untuk tarikh baharu perlawanan akan diputuskan dalam masa terdekat.

 Perlawanan ke-11 akan berlangsung pada Khamis ini, 5 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH PETANG TADI

 

KUMPULAN A

 

KELANTAN 0

FELDA UNITED 1

Muhamad Nurhalis Syafiq Mohamad Nizu 14'

 

TERENGGANU 2

Muhamad Shahimi Kharuddin 20'

Muhammad Aliff Fitri Jefri 78'

SARAWAK 0

 

JOHOR DARUL TA'ZIM III 5

Shahwan Shaharudin 7' 53' 73'

Mohamad Hariz Kamarudin 9'

Mohammad Fahmi Faizal 13'

PERLIS 1

Mohd Aqmal Alias 61'

 

UITM FC 1

Wan Mohamad Fatah Wan Ali 11'

ATM 0

 

NEGERI SEMBILAN 1

Muhamad Asraf Roslan 61'

KEDAH 3

Mohammad Hidhir Idris 40' 48'

Mohd Badrul Amin Abd Razak 78'

 

KUMPULAN B

 

PULAU PINANG 1

Mohamed Syamer Kutty Abba 56'

PERAK 1

Muhammad Faizzwan Dorahim 50'

 

SELANGOR lwn PKNS FC

(perlawanan ditangguh kerana hujan lebat & petir)

 

SABAH 2

Rahman Shah Marajeh 13' 73'

MELAKA 0

 

PDRM 1

Mohammad Adif Salim 30'

T-TEAM 1

Muhammad Naqib Najwan Saufi 68'

 

KUALA LUMPUR 1

S Thipan Raj 90+3'

PAHANG 3

Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri 6'

Muhammad Adam Mohamad Zaki 22'

Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazri 87'