PIALA SUZUKI AFF 2016: MALAYSIA 3-2 KEMBOJA

2016-11-20

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk akhirnya berjaya meraih tiga mata penuh dengan menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi sulung Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2016 di Stadium Thuwunna, Yangon, petang tadi.

 Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu ketinggalan seawal minit kelapan menerusi jaringan Chan Vathanaka sebelum pemain sayap Harimau Malaysia, Syazwan Zainon menyamakan kedudukan menerusi penyudah kemas hasil hantaran jauh Irfan Fazail pada minit ke-37.

 Terikat 1-1 pada separuh masa pertama, Malaysia sekali lagi ketinggalan pada minit ke-59 juga menerusi Vathanaka tetapi berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 selepas ketua pasukan, Amri Yahyah menyudahkan gerakan Hazwan Bakri dari sebelah kanan pada minit ke-69.

 Gol kemenangan Malaysia dijaringkan Amri untuk jaringan kedua peribadinya selepas berjaya melakukan penyudah kemas bola lorongan penyerang gantian, Safee Sali pada minit ke-80.

 Untuk rekod, sepanjang tiga edisi berturut-turut sebelum ini iaitu 2010, 2012 dan 2014, Malaysia gagal meraih kemenangan pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF selepas kali terakhir berjaya melakukannya pada 2008 dengan menewaskan Laos 3-0.

 Sementara itu, pada satu lagi aksi Kumpulan B yang baru saja berakhir sebentar tadi, Vietnam berjaya menewaskan tuan rumah, Myanmar 2-1.

 Malaysia selepas ini akan bertemu Vietnam pada perlawanan kedua, Rabu ini sebelum berdepan Myanmar pada Sabtu (26 November).

 

MALAYSIA: 19-Khairul Fahmi Che Mat, 15-Rizal Ghazali, 5-Shahrom Kalam, 3-Shahrul Saad, 2-Matthew Davies, 17-Amri Yahyah (C), 7-Baddrol Bakhtiar, 20-Irfan Fazail (12-S Veenod 85'), 16-Syazwan Zainon (23-Hadin Azman 77'), 18-Darren Lok (10-Safee Sali 73'), 11-Ahmad Hazwan Bakri.

KEMBOJA: 1-Sou Yaty (C), 20-Sok Sovan, 13-Nub Tola, 5-Soeuy Visal, 26-Rous Samoeun (6-Khoun Laboravy 50'), 17-Chhin Chhoeun, 12-Sos Suhana, 16-        Chrerng Polroth, 10-Keo Sokpheng (15-Tith Dina 78'), 7­-Prak Mony Udom (9-Khoun Laboravy 83'), 11-Chan Vathanaka.

Pengadil: Yaqoob Said Abdullah Abdul Baqi (Oman)

 

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Sudah tentu satu kemenangan yang sukar seperti saya jangkakan. Tapi apa yang penting kami berjaya bangkit dengan baik biarpun selepas dibolosi dua gol mudah.

 "Bagi gol pertama Kemboja, saya perlu lihat semula situasi tersebut. Banyak persoalan yang timbul di mana penolong pengadil telah mengangkat bendera ofsaid dan semua pemain termasuk pemain Kemboja sudah terhenti tetapi diarahkan pengadil untuk meneruskan perlawanan.

 "Ini akan memberi pengalaman dan pengajaran kepada pemain kita supaya kita perlu bermain mengikut wisel, bukan mengikut bendera.

 "Tapi selepas itu pada babak pertama, ada pemain Kemboja melakukan hantaran ke belakang (yang ditangkap penjaga golnya) tetapi tidak pula diberikan sepakan percuma kepada kita.

 "Tapi secara keseluruhan, kedua-dua pasukan nampak bergelut untuk menghabiskan 90 minit permainan dengan cuaca yang cukup panas.

 "Apa pun saya pasti, kita mampu untuk mempamerkan persembahan lebih baik lagi daripada apa yang kita tunjukkan pada perlawanan ini untuk aksi kedua berdepan Vietnam, Rabu ini."