PLAY-OFF KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: TIMOR-LESTE 0-3 MALAYSIA (AGREGAT 0-6)

2016-06-07

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee sekali lagi berjaya menewaskan Timor-Leste 3-0 pada perlawanan kedua Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

 Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaysia tidak perlu mengharungi Play-Off 2, sebaliknya terus berjaya layak ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019 bermula Mac tahun depan menerusi kemenangan agregat 6-0 selepas turut menang 3-0 pada aksi pertama di stadium sama, Khamis lalu (2 Jun 2016).

 Malaysia mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi Khair Jefri Jones pada minit ke-16 selepas pemain Melaka United itu yang menggantikan tempat Christie Jayaseelan yang keracunan makanan menyudahkan hantaran Ahmad Hazwan Bakri dalam kotak penalti.

 Dua lagi jaringan berjaya diperoleh pada babak kedua menerusi tandukan tajam Ahmad Hazwan selepas menerima hantaran Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada minit ke-58 dan penyudah kemas S Chanthuru hasil hantaran S Kunanlan, minit ke-68.

 Dengan gawang Malaysia sekali lagi tidak dibolosi malam tadi, ia menyaksikan penjaga gol negara, Izham Tarmizi Roslan kini mengekalkan rekod bersih tidak dibolosi sebarang gol dalam empat perlawanan berturut iaitu bertemu Macau, Myanmar dan dua aksi menentang Timor-Leste ini.

TIMOR-LESTE: 12-Ramos Maxanches (20-Fagio Augusto 87'), 22-Nelson Viegas, 13-Diogo Rangel (2-Victor 65'), 4-Filipe Oliveira, 3-Adelino Trindade, 21-Nilo Soares (11-Nataniel Reis 52'), 6-Anggisu Barbosa (C), 7-Paulo Helber, 10-Frangcyatma Alves, 8-Juninho, 9-Henrique Cruz.

MALAYSIA: 23-Izham Tarmizi Roslan, 16-S Kunanlan, 5-Shahrom Kalam, 7-Aidil Zafuan Abd Radzak (C), 6-Fazly Mazlan, 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 3-Brendan Gan, 11-Baddrol Bakhtiar, 24-Khair Jefri Jones (18-S Chanthuru 46'), 21-Amirulhadi Zainal (8-Zaquan Adha Abd Radzak 77'), 12-Ahmad Hazwan Bakri (10-S Kumaahran 65').

Pengadil: Ho Wai Sing (Hong Kong)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Satu prestasi yang cukup baik menerusi kedua-dua perlawanan ini di mana kita dapat menjaringkan enam gol. Ini membuktikan yang kita masih lagi mempunyai sentuhan penyudah yang berbisa.

 "Tapi pada masa yang sama, kita tak boleh mengambil ia sebagai satu kepuasan di mana kita perlu bergerak lebih jauh daripada ini. Selepas ini, kita akan menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 dan seterusnya peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019.

 "Di situ nanti akan menilai kemampuan kita yang sebenar, terutama pada saingan peringkat kumpulan kelayakan yang akan bermula Mac tahun depan.

 "Saya melihat barisan inilah sebagai tunjang utama pasukan yang kita ada buat masa ini. Sudah tentu apabila kita beraksi tiga perlawanan persahabatan bertemu Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun), saya dapat beri peluang beraksi lebih banyak kepada pemain-pemain lain.

 "Dari situ nanti, kita boleh mendapat lebih pilihan di setiap posisi."