PREVIU LFK 2018 YANG BERMULA SABTU, 24 FEBRUARI 2018

2018-02-23

Saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 bakal membuka tirai saingannya pada Sabtu, 24 Februari 2018 dengan menampilkan sembilan perlawanan - lima perlawanan kategori lelaki dan empat perlawanan kategori wanita yang bermula dari jam 9.00 pagi hingga 10.30 malam.

Ia disusuli hari perlawanan kedua pada Ahad, 25 Februari menyaksikan sembilan lagi perlawanan dalam tempoh waktu yang sama dengan Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam dipilih gelanggang rasmi bagi kesemua perlawanan musim ini dengan perlawanan terakhir kedua-dua kategori dijadual pada 26 Ogos depan.

Setiap pasukan akan beraksi dua perlawanan pada setiap minggu saingan (2 hari) iaitu keseluruhan 18 perlawanan (9 minggu saingan) bagi kategori lelaki yang disertai 10 pasukan dan keseluruhan 14 perlawanan (7 minggu saingan) bagi kategori wanita yang membabitkan lapan pasukan.

Bagi kategori lelaki, tumpuan pasti terus terarah kepada pasukan juara bertahan, Melaka yang bakal memulakan kempen berdepan naib juara musim lalu, Felda United pada Sabtu (3.00 petang) dan pasukan dari saingan kelayakan, Selangor United MPSJ pada Ahad (9.00 pagi).

Melaka kendalian Mohamad I'sah Abd Rahim kehilangan tiga pemain kebangsaan - penjaga gol, Firdaus Razali yang berhijrah ke Selangor United MPSJ, Yazid Kamaruzuan ke Kuantan Rangers serta Khairul Effendy Bahrin ke kelab Indonesia, SKN FC Kebumen.

Namun mereka berjaya mendapatkan tiga pemain kebangsaan yang beraksi bersama Felda United musim lalu bagi menampung kekosongan tersebut iaitu penjaga gol, Azrul Hadee Taufiq, Azwann Ismail dan Azri Rahman. Azrul Hadee beraksi bersama Marcerra United pada saingan kelayakan bulan lalu tetapi kandas pada suku akhir.

Selain itu, Melaka terus diperkuat lima lagi pemain kebangsaan terdiri daripada Abu Haniffa Hasan, Saiful Nizam Mohd Ali, Saiful Aula Ahmad, Awaluddin Hasan dan Firdaus Ambiah.

Felda United pula musim ini melakukan rombakan besar dengan melepaskan pemain-pemain bintang dan meletakkan sandaran pada barisan pemain muda dan baharu bagi mengharungi cabaran musim ini termasuk dua pemain berpengalaman iaitu penjaga gol, Mohd Noor Azrin Adnan yang beraksi bersama Pahang musim lalu serta pemain bola sepak pantai kebangsaan, Ridhwan Zainal yang bersama Kedah pada saingan kelayakan bulan lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Ahmad Fawzul Hadzir Mohamad yang baru berusia 31 tahun dilantik sebagai jurulatih baharu Felda United musim ini.

Pasukan tangga ketiga musim lalu, Pahang masih mengekalkan Mohd Yazeed Hamzah sebagai jurulatih dan memperkuat pasukan dengan kehadiran tiga bekas pemain kebangsaan - Qaiser Heesham Abdul Kadir dan Akmal Yazadh Amri dari Marcerra United serta Afandi Bonyamin dari Kedah, selepas kedua-dua pasukan berkenaan gagal pada saingan kelayakan bulan lalu.

Turut menyertai Pahang iaitu peledak utama T-Team musim lalu, Ahmad Jazlan Jalil bagi mengisi kekosongan ditinggalkan beberapa tonggak musim lalu yang berhijrah ke pasukan lain.

Satu lagi pasukan yang perlu diberi perhatian ialah Perak yang menduduki tangga kelima musim lalu tetapi musim ini tampil dengan jurulatih baharu, Qusmaini Noor Rusli, bekas jurulatih skuad futsal kebangsaan Brunei serta tiga pemain kebangsaan - Awalluddin Mat Nawi dan Farikh Khabibor Rahman serta Ridzwan Bakri yang beraksi bersama Pahang musim lalu dan Sabah pada saingan kelayakan bulan lalu.

Turut menyertai Perak musim ini ialah dua bekas pemain kebangsaan iaitu Amar Ashraf Abu Bakar dari Pahang serta Shamar Fadzil yang beraksi bersama pasukan bola sepak Liga Premier PDRM, musim lalu.

Dua pasukan yang tersenarai selepas mengungguli saingan kelayakan bulan lalu iaitu Kuantan Rangers dan Selangor United MPSJ juga tidak boleh diambil mudah cabaran mereka kerana turut tampil dengan barisan pemain yang memiliki reputasi tinggi.

Kuantan Rangers kendalian bekas ketua pasukan kebangsaan, Mohammad Faizul Bin Abdul Gaffar mengekalkan dua bekas pemain kebangsaan, Akhmall Abdullah dan Khairul Rizuan Harif Pagilah serta diperkuat dengan kehadiran tiga pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Syafiq Hamzah dari KL City FC, Akmarulnizam Idris dari Pahang dan Yazid Kamaruzuan dari Melaka.

Selangor United MPSJ pula yang dibimbing Addy Shairullyzam Mohd Shafiee membawa masuk tiga pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Firdaus Razali dari Melaka, Syed Aizad Daniel Syed Nasir dan Aidil Shahril Rosli dari Felda United serta tiga pemain yang pernah dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan iaitu Shamsul Akmar Zamri dan Fariq Mohammad dari Pahang serta Hazizi Mansor dari KL City FC.

Empat lagi pasukan iaitu KL City FC kendalian bekas pemain kebangsaan, Jerry Dinesh Pireira, Kuala Lumpur kendalian Arif Hamidi Sayuti, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) FC kendalian Faizal Osman serta Terengganu FC (nama baharu bagi pasukan T-Team musim lalu) kendalian Faiz Rashid biarpun tidak mempertaruhkan nama-nama besar, namun tetap perlu diberi perhatian kerana mampu melakukan kejutan ke atas pasukan pilihan.

Sementara itu, bagi kategori wanita, juara bertahan Felda United bakal bertemu pasukan tempat ketiga musim lalu, Perak pada Sabtu (10.30 pagi) sebelum berdepan pasukan baharu dari saingan kelayakan, Selangor United MPSJ pada Ahad (4.30 petang).

Felda United yang musim ini dikendalikan Azhar Harun membawa masuk pemain kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli dari Perak serta mengekalkan barisan pemain kebangsaan sedia ada iaitu penjaga gol Nur Izwani Azman, Farah Najihah Abdul Aziz, Farahiyah Muhd Ridzuan, Hanis Farhana Shamsul Azizan, Nor Faizah Md Akhir, Siti Asnidah Zamri dan Zur'ain Kamarudin.

Bagaimanapun tiga pemain kebangsaan mereka telah pun berhijrah ke Selangor United MPSJ iaitu Fatin Shahidah Azmi, Nur Shazreen Munazli dan Norhawa Md Yasin.

Dua lagi pemain yang turut menyertai Selangor United MPSJ di bawah kendalian bekas jurulatih futsal wanita kebangsaan, Mohd Fairuz Mohd Noor ialah Steffi Sarge Kaur dari pasukan Kuala Lumpur yang tidak menyertai saingan musim ini serta pemain bola sepak wanita kebangsaan, Puteri Noralisa Wilkinson.

Perak yang dibimbing Mohd Nazim Din pula masih mengekalkan dua pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Noorasyeimah Mohd Rashid dan peledak utamanya, Nurul Hamira Yusma Mohd Yusri selain turut mempertaruhkan penyerang skuad bola sepak wanita kebangsaan, Nur Haniza Saarani.

Turut menarik perhatian dalam saingan kategori wanita kali ini ialah penyertaan pasukan baharu, Sabah kendalian Rosmadih Wasli yang menampilkan sembilan pemain bola sepak wanita kebangsaan terdiri daripada ketua pasukan, Masturah Majid, Shereilynn Elly Pius, JI. Fedalliah Claritta Jaimin, Jaciah Jumilis, Eslilah Esar, Usliza Usman, Haindee Mosroh, Dadree Rofinus serta penjaga gol, Asma Junaidi.

Satu lagi pasukan baharu, Negeri Sembilan bimbingan Md Yasin Mat Nor turut membariskan dua pemain bola sepak kebangsaan iaitu penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan dan pemain pertahanan, Malini Nordin serta menampikan nama pengacara rancangan Motif Viral, Shalma Ainaa Bruhanutheen, 27, dalam senarai pemainnya.

KL Imigresen FC yang juga pasukan baharu musim ini dikendalikan oleh bekas jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Muizzudin Mohd Haris dengan diketuai kapten futsal kebangsaan pada Sukan SEA 2017 yang juga penjaga gol, Sity Norazizah Jamal.

Dua lagi pasukan dari saingan musim lalu ialah PDRM kendalian Norhastinarahayu Mohd Hashim yang menampilkan dua pemain futsal kebangsaan, Noor Asyikin Mohamad Noor dan Lovelytha Jelus serta Sarawak yang dibimbing Mohd Faizal Zamri.

Jadual penuh perlawanan boleh dirujuk di KATEGORI LELAKI dan KATEGORI WANITA.