PREVIU PIALA BELIA 2018 YANG BERMULA RABU, 21 FEBRUARI 2018

2018-02-20

Saingan liga bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Piala Belia 2018 bakal membuka tirai saingannya pada Rabu, 21 Februari 2018 dengan menampilkan 10 perlawanan - lima perlawanan Kumpulan A dan lima perlawanan Kumpulan B.

Musim ini, sebanyak 22 pasukan mengambil bahagian dengan Sabah kendalian Aiyyman Shah Johny Abdullah dari Kumpulan A dan Sarawak bimbingan David Usop dari Kumpulan B tidak beraksi pada hari perlawanan pertama ini.

Bagi saingan Kumpulan A, semifinalis musim lalu, Terengganu yang kini dikenali Terengganu FC IV bimbingan Subri Sulong akan melayan kunjungan pasukan yang kandas pada suku akhir musim lalu, Felda United kendalian Shahril Arsat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Kuala Lumpur yang turut kandas pada suku akhir musim lalu dan kini dikendalikan Sukri Ismail akan menanti kehadiran pasukan baharu, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-16 bimbingan Haris Lajid di Stadium UPM, Serdang.

Satu lagi pasukan yang kandas pada suku akhir musim lalu, Selangor kendalian V Yogeswaran pula akan bertandang ke tempat lawan bertemu Pahang yang dibimbing Zerry Nazeri di Stadium UIA, Indera Mahkota, Kuantan.

Dua lagi perlawanan menyaksikan pasukan baharu, PKNP FC bimbingan Badrul Hisham Abdul Majid akan berdepan Pulau Pinang kendalian Azhar Abdul Rahman di Stadium USM, Pulau Pinang manakala satu lagi pasukan baharu, SSMP-AMD Cougars B-16 yang dibimbing Lim Teong Kim bertemu PKNS FC kendalian Azrin Mohamed di Padang PKNS, Kelana Jaya.

Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, juara bertahan Kedah yang masih kekal di bawah kendalian Mohamad Ramlee akan memulakan kempen musim ini bertemu Melaka bimbingan Rashid Mamud di Stadium Hang Tuah.

Kedah muncul juara musim lalu menerusi peraturan gol tempat lawan selepas terikat agregat 3-3 dengan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian P Somansundram. SSMP B-17 tidak menyertai saingan musim ini.

Semifinalis musim lalu, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 yang kini dibimbing Ahmad Yasser Arafat Mohd Najib akan menanti kunjungan Johor Darul Ta'zim IV yang dikendalikan jurulatih dari Sepanyol, Gonzalo Sanz Zaballos di  Padang B, SSTMI, Bandar Penawar.

Perak yang kandas pada suku akhir musim lalu dan kini mendapat sentuhan Azmi Mohamed akan bertandang ke gelanggang lawan berdepan pasukan baharu, SSMP-AMD Panthers B-16 bimbingan Raja Azlan Shah Raja So'ib di Padang Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

Baki dua perlawanan menyaksikan satu lagi pendatang baharu, UiTM FC kendalian Khairun Haled Masrom akan bertemu Kelantan yang dibimbing Zahariman Ghazali di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu manakala Negeri Sembilan kendalian Adnan Md Din menanti kunjungan Perlis bimbingan Suhairi Abd Karim di Padang Merdeka, Port Dickson.

Kesemua perlawanan sepak mula pada jam 4.45 petang.

Saingan peringkat kumpulan bagi Piala Belia 2018 akan berlangsung sebanyak 22 hari perlawanan (Rabu/Ahad) sehingga 29 Julai depan sebelum empat pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati - suku akhir, separuh akhir dan final.