PREVIU PIALA PRESIDEN 2018 YANG BERMULA KHAMIS, 22 FEBRUARI 2018

2018-02-20

Saingan liga bawah 21 tahun (B-21) kebangsaan, Piala Presiden 2018 bakal membuka tirai saingannya pada Khamis, 22 Februari 2018 dengan menampilkan 10 perlawanan - lima perlawanan Kumpulan A dan lima perlawanan Kumpulan B.

Musim ini, sebanyak 22 pasukan mengambil bahagian dengan pendatang baharu, Perlis kendalian Azizul Abidin dari Kumpulan A dan PKNS FC bimbingan Shaifulnizam Ab Khamis dari Kumpulan B tidak beraksi pada hari perlawanan pertama ini.

Bagi saingan Kumpulan A, juara bertahan Selangor yang musim ini dikendalikan Noor Zaidi Rohmat bakal membuka kempen berdepan semifinalis musim lalu, Kelantan bimbingan Zahasmi Ismail di Stadium MMU, Cyberjaya.

Satu lagi semifinalis musim lalu, Kedah di bawah bimbingan Victor Andrag akan menanti kunjungan Sabah kendalian Johnny Dominicus di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Johor Darul Ta'zim III kendalian Ervin Boban yang kandas pada suku akhir musim lalu pula bakal menerima kehadiran Melaka bimbingan Ridzuan Abu Shah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Pendatang baharu, MIFA kendalian P Somasundram, jurulatih yang membawa SSMP B-17 muncul naib juara Piala Belia 2017 akan bertandang ke Stadium Mindef, Kuala Lumpur untuk berdepan ATM yang dibimbing Jamie Barnett.

Satu lagi pasukan baharu, Selangor United kendalian jurulatih dari Jerman, Sven Gartung pula akan bertemu Pahang bimbingan Azaruddin Aziz di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, naib juara musim lalu, Terengganu yang kini dikenali sebagai Terengganu FC III kendalian Badrul Afzan Razali akan menerima kunjungan Sarawak bimbingan Abdul Wahet Uji di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Kuala Lumpur kendalian Khalid Shahdan yang kandas pada suku akhir musim lalu bakal berdepan Perak bimbingan Syamsul Mohd Saad di Stadium UKM, Bangi.

Satu lagi pasukan yang kandas pada suku akhir musim lalu, Negeri Sembilan bimbingan Sazali Saidun akan menanti kehadiran PKNP FC yang dikendalikan A Pugelenthi di Stadium USIM, Nilai.

Dua baki perlawanan menyaksikan Pulau Pinang kendalian S Veloo akan bertemu Felda United bimbingan Azuan Zain di Stadium USM, Pulau Pinang manakala UiTM FC kendalian Anuar Abu Bakar berdepan PDRM kendalian Anuar Udin di Stadium UiTM, Shah Alam.

Kesemua perlawanan sepak mula pada jam 4.45 petang.

Saingan peringkat kumpulan bagi Piala Presiden 2018 akan berlangsung sebanyak 22 hari perlawanan (Khamis/Isnin) sehingga 30 Julai depan sebelum empat pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati - suku akhir, separuh akhir dan final.