Sabah tekad pertahan kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah

Juara bertahan, Sabah tetap yakin mampu mempertahankan kejuaraan pada kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 yang bakal berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi dari Ahad ini (2 Ogos) hingga 8 Ogos 2015.
 
 Pengurus pasukan Sabah, Datin Malianah Ugau berkata, kali ini mereka akan tampil dengan barisan muka baharu apabila 16 pemainnya berusia 20 tahun dan ke bawah tetapi itu bukan bermakna mereka tidak meletakkan sasaran tinggi untuk mempertahankan kejuaraan.
 
 "Hanya empat pemain yang boleh dianggap senior dalam pasukan ini, selebihnya 16 pemain berusia bawah 20 tahun dengan separuh daripadanya adalah pemain dari skuad B-16 negara dan ada empat pemain yang dicungkil bakat mereka dari Sukan Sabah (SAGA).
 
 "Selain daripada sasaran kita untuk mempertahankan kejuaraan, penyertaan Sabah ke kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah kali ini ialah untuk memberi pendedahan kepada muka-muka baharu dan pemain muda ini pengalaman beraksi di peringkat kebangsaan.
 
 "Saya percaya biarpun kami dibarisi pemain muda kali ini, mereka mampu dari segi fizikal dan tahap kecergasan, cuma mungkin dari segi pengalaman saja mereka agak kurang tetapi sasaran kami tetap mahu beraksi di final, 8 Ogos nanti," kata Malianah kepada www.fam.org.my, hari ini.
 
 Skuad Sabah dikendalikan ketua jurulatih, Smith M Ampuling dan dibantu penolong jurulatih, Beatrice Yaw serta jurulatih penjaga gol, Petronella Douny.
 
 Empat pemain berpengalaman yang menjadi taruhan Sabah untuk edisi kali ini ialah Leonie Vitus, 34, Zaryatie Zakaria, 34, Zaffeka Zakaria, 29, dan Jaciah Jumilis, 24.
 
 Ini disebabkan beberapa tonggak berpengalaman mereka berhijrah ke pasukan baharu, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) yang beraksi buat kali pertama di kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah, tahun ini.
 
 "Walaupun sedikit kecewa dengan penghijrahan beberapa pemain senior ini, saya berharap pemain-pemain muda yang kita pertaruhkan kali ini tetapi bersemangat tinggi membawa nama Sabah.
 
 "Sebelum ini pun, selalunya pasukan Sabah berjaya menang kerana berbekal semangat tinggi para pemain untuk mengatasi pasukan-pasukan lain," jelas Malianah.
 
 Sabah merupakan pasukan paling banyak menjuarai Piala Tun Sharifah Rodziah sejak ia diperkenalkan pada tahun 1976 apabila berjaya menjulang trofi itu sebanyak 11 kali iaitu pada tahun 1988, 1991, 1992, 1993, 1994, 1995, 1996, 1997, 1998 serta pada dua edisi terakhir iaitu 2003 dan 2004.
 
 Selepas 11 tahun menyepi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun ini bagi edisi kali ke-28.
 
 Sebanyak 10 pasukan menyertai kejohanan edisi 2015 ini iaitu Sabah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, ATM, PDRM dan MISC-MIFA.
 
 Majlis undian akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Jumaat ini (31 Julai) untuk menentukan lima pasukan berada dalam Kumpulan A dan lima pasukan bagi Kumpulan B dengan aksi peringkat kumpulan dijadual dari 2 hingga 6 Ogos.
 
 Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B bakal bertembung di separuh akhir pada 7 Ogos dan final dijadual pada 8 Ogos di Stadium Mini ILKAP.
J Category: 
article/women-s-football