SEMINAR PEMBANGUNAN BOLA SEPAK WANITA FAM 2016

2016-02-11

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganjurkan Seminar Pembangunan Bola Sepak Wanita FAM 2016 yang berlangsung di TH Hotel Kelana Jaya bermula hari ini (11 Februari 2016) hingga Sabtu ini.

 Seminar yang julung kali diadakan itu menampilkan penceramah jemputan untuk empat sesi taklimat terdiri daripada Bai Lili (Ketua Jabatan Bola Sepak Wanita AFC), Fritz Schmid (Pengarah Teknikal FAM), Julie Teo (FA Singapura) serta Mohamed Zaini Mazlan dan Patrick Loo (Supergirls Subang Jaya Community Sports Club).

 Selain itu, turut diadakan adalah program komuniti bola sepak membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 4 hingga 12 tahun di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari terakhir seminar pada Sabtu ini dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi.

 Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin ketika merasmikan seminar berkenaan pagi tadi berkata, Malaysia perlu memperkasakan bola sepak wanita bermula daripada peringkat akar umbi bagi menghasilkan sebuah pasukan kebangsaan yang mantap pada masa akan datang.

 “Seminar yang diinisiatifkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Brigadier General Dato' Norhuda Ahmad serta ahli-ahli jawatankuasanya ini merupakan julung kali ia diadakan dan sepanjang tiga hari ini, kita akan mengadakan seminar dalam kelas dan juga praktikal di atas padang.

 “Objektif kita adalah untuk menguatkan bola sepak wanita di negara ini daripada peringkat akar umbi hingga ke pasukan kebangsaan. Jadi untuk program ini, FAM telah mendapatkan bantuan daripada AFC yang mana AFC mempunyai kolaborasi dengan UEFA.

 “Jadi mereka telah menghantar penasihat pembangunan bola sepak dari UEFA, Beatrice Von Siebenthal selama dua bulan ke Malaysia. Pertamanya pada hujung tahun lalu selama sebulan dan baki sebulan lagi pada bulan ini.

 “Beliau telah meninjau semua kebaikan dan kelemahan infrastruktur bola sepak wanita di negara ini dan membuat blueprint untuk Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM memperkenalkan kaedah baharu dalam pembangunan bola sepak wanita di negara ini,” kata Dato’ Hamidin kepada pemberita selepas majlis perasmian di TH Hotel Kelana Jaya, pagi tadi.

 Sementara itu, Dato’ Norhuda berkata, seminar berkenaan yang dihadiri tiga orang wakil daripada setiap persatuan negeri itu diharap dapat meningkatkan kesedaran semua pihak dalam membangunkan bola sepak wanita di peringkat negeri dan kebangsaan.

 “Sebenarnya bola sepak wanita sudah bermula sejak tahun 1960 lagi tetapi selepas 56 tahun, kita lihat ia masih belum cukup berkembang di negara ini dan tidak terkenal seperti bola sepak lelaki.

 “Apabila kita bertanding di peringkat ASEAN pun kedudukan kita tidak seberapa. Kita lihat, persatuan negeri juga tidak berapa memberi tumpuan kepada bola sepak wanita berbanding lelaki.

 “Jadi ini salah satu usaha kami untuk menyedarkan mereka di luar sana bahawa kita perlu memberi tumpuan kepada bola sepak wanita ini. Ramai anak gadis di luar sana yang mahu bermain bola sepak secara serius tetapi tiada platform buat mereka.

 “Tujuan seminar ini adalah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak wanita di peringkat negeri dan kebangsaan supaya persatuan negeri sama-sama mengambil iktibar dan membantu menyokong menyediakan prasarana dan aktiviti supaya ramai anak gadis di luar sana dapat bermain bola sepak secara serius.

 “Siapa sangka, pada masa akan datang berkemungkinan bola sepak wanita boleh menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata Dato’ Norhuda.