SETIAUSAHA AGUNG FAM MENZIARAHI KELUARGA MARCO STEFAN PETROVSKI DI HOSPITAL MELAKA

2016-04-22

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin, hari ini telah menziarahi keluarga penjaga gol Melaka United, Marco Stefan Petrovski di Hospital Melaka.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Australia itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut setelah dipanah petir ketika menjalani latihan di Krubong, Melaka, 5 April lalu.

Pada kunjungan berkenaan, Hamidin telah tampil berjumpa dengan ibu dan nenek pemain berusia 18 tahun itu, Marie Theresa Lupang dan Angela Yong. Turut hadir, ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Penolong Pengurus pasukan Melaka United, Noor Azman Rahman.

Petrovski merupakan bekas pemain remaja kelab Australia, Sydney Olympic FC sebelum menandatangani kontrak tiga tahun bersama pasukan Liga Premier, Melaka United.