SIARAN MEDIA: FAM BUKA PELUANG PEMAIN PERLIS SERTAI PASUKAN BAHARU PIALA PRESIDEN & PIALA BELIA 2019 DEMI JAGA KEBAJIKAN PEMAIN YANG TERLIBAT

2019-03-09

Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali keempat bagi penggal 2017-2021 telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam (8 Mac 2019).

Antara agenda utama yang dibincangkan adalah mengenai rayuan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk kekal menyertai Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2019 setelah dibatalkan penyertaan oleh JKPT pada 23 Februari lalu.

JKPT masih tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan pasukan Perlis kekal mengambil bahagian di dalam kedua-dua pertandingan tersebut dan di antara faktor-faktor yang telah diambil kira adalah seperti berikut:

i) Pasukan Perlis masih gagal atau enggan untuk  menyempurnakan pendaftaran minimum pemain dan pegawai sehingga ke tarikh tutup pendaftaran asal iaitu pada 15 Februari 2019;

ii) Pasukan Perlis masih lagi gagal untuk menyempurnakan pendaftaran minimum pemain dan pegawai walaupun kesemua pasukan telah diberikan tempoh lanjutan (tarikh baharu tutup pendaftaran pertama) iaitu pada 22 Februari 2019;

iii) Pasukan Perlis gagal untuk menyediakan perlindungan insuran kepada pemain dan pegawai; dan

iv) Pasukan Perlis gagal untuk mengemukakan Sijil Perpindahan (SPN) bagi pemain.

Selain itu, pasukan Perlis juga telah beberapa kali memohon untuk diberikan tempoh lanjutan pendaftaran tetapi JKPT berpendapat bahawa ia tidak seharusnya berlaku kerana pasukan-pasukan lain boleh menghormati atau mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan tanpa sebarang isu.

Tambahan pula, JKPT telah pun memberikan tempoh lanjutan pendaftaran kepada semua pasukan dan seringkali memberi peringatan melalui Unit Pertandingan FAM kepada pasukan-pasukan untuk mematuhi tarikh akhir yang telah ditetapkan.

Tindakan pasukan Perlis ini jelas menunjukkan bahawa mereka masih lagi belum bersedia untuk mengambil bahagian di dalam kedua-dua pertandingan ini dan sekiranya dibenarkan untuk kekal di dalam kedua-dua pertandingan ini, ia boleh mendatangkan masalah kepada pasukan-pasukan lain dan pada masa yang sama memudaratkan  pertandingan itu sendiri.

JKPT juga percaya keputusan untuk membatalkan penyertaan Pasukan Perlis di dalam kedua-dua pertandingan tersebut adalah satu langkah yang harus diambil bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dan untuk menjaga kepentingan kedua-dua pertandingan tersebut.

Walaupun pasukan Perlis dibatalkan penyertaan bagi kedua-dua pertandingan tersebut, JKPT tidak akan mengetepikan kebajikan pemain-pemain dan pegawai pasukan Perlis yang kini tidak mempunyai pasukan dan punca pendapatan.

JKPT telah memutuskan agar pemain-pemain dan pegawai-pegawai yang dimaksudkan ini diberi kelonggaran untuk didaftarkan bermain dan berkhidmat  bersama pasukan lain di dalam Piala Presiden dan Piala Belia 2019 walaupun tarikh pendaftaran asal dan lanjutan telah pun berakhir.

Justeru, pasukan-pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2019 yang masih mempunyai kekosongan di dalam pasukan adalah dibenarkan membuat pendaftaran pemain dan pegawai baharu terhad kepada bekas pemain-pemain dan pegawai-pegawai pasukan Perlis bagi Piala Presiden dan Piala Belia 2019 sahaja.

Jumlah terpinda pemain yang boleh didaftarkan adalah seperti berikut:

i) Piala Presiden 2019: Minimum 20 dan sehingga 33 pemain berumur 21 tahun dan ke bawah dan maksimum 3 pemain berumur 22 tahun (33 +3).

ii) Piala Belia 2019: Minimum 20 dan sehingga 33 pemain berumur 19 tahun dan ke bawah.

Pendaftaran yang dimaksudkan ini akan bermula dari 11 Mac 2019 dan berakhir pada 24 Mac 2019.

Pekeliling akan dikeluarkan kepada semua pasukan yang bertanding di dalam Piala Presiden dan Piala Belia 2019 bagi pemakluman perkara ini.

 

Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi

Timbalan Presiden FAM

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM