SIARAN MEDIA: FAM TAJA ISTERI & DUA ANAK FAIZ SUBRI KE ZURICH

2016-12-15

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini dengan berbesar hati mengumumkan untuk menaja tiket penerbangan isteri dan dua anak pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri ke Zurich, Switzerland bagi menghadiri Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 pada 9 Januari 2017.

 Selaku tiga calon akhir bersama-sama Marlone, 24, pemain tengah kelab Brazil, Corinthians dan Daniuska Rodriguez, pemain skuad B-17 wanita Venezuela bagi merebut Anugerah Puskas FIFA 2016, kehadiran Mohd Faiz, 29, ke Zurich akan ditaja sepenuhnya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

 Sebagai menghargai kejayaan Mohd Faiz mencipta sejarah bergelar pemain bola sepak pertama dari Malaysia tercalon bagi anugerah tahunan gol tercantik di dunia ini, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, Persatuan akan menaja tiga tiket penerbangan kelas perniagaan (business class) kepada isterinya, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.

 Selain isteri dan dua anaknya, Mohd Faiz akan turut ditemani wakil daripada Persatuan iaitu Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Haji Afandi Hamzah untuk bersama-sama ke majlis anugerah di Zurich itu.

 Persatuan juga sudah menerima surat rasmi daripada FIFA berhubung butiran lengkap aktiviti dan program sepanjang majlis anugerah berkenaan.

 Sehubungan itu, Mohd Faiz bersama-sama isteri, dua anaknya serta Dato' Sri Haji Afandi dijadual akan berlepas dari Kuala Lumpur pada Ahad, 8 Januari 2017, jam 10.15 pagi dan dijangka tiba semula di tanah air pada Rabu, 11 Januari 2017, jam 3.15 petang.

 Persatuan ingin sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya kepada Mohd Faiz dan buat para peminat bola sepak di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, teruskan mengundi di fifa.com/Puskas sehingga 9 Januari 2017 bagi memastikan satu lagi sejarah akan tercipta dengan Mohd Faiz muncul pemain pertama dari Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

KHAMIS, 15 DISEMBER 2016