SIARAN MEDIA: HANYA HAMIDIN, ANNUAR SAH BERTANDING PRESIDEN FAM SELEPAS AZIM TOLAK PENCALONAN

2018-06-14

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin mengumumkan bahawa hanya dua individu iaitu Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Tan Sri Annuar Musa sah akan bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai 2018.

Ini berikutan keputusan dibuat oleh seorang lagi individu yang turut dicalonkan sebelum ini iaitu Dato' Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang telah membalas surat pencalonan pada Isnin lalu (11 Jun 2018) dengan menolak untuk bertanding jawatan tersebut.

Dato' Haji Hamidin terdahulu telah membalas surat pencalonan pada 1 Jun 2018 dengan menerima untuk bertanding disusuli Tan Sri Annuar yang membalas surat pencalonannya dengan turut menerima untuk bertanding pada Selasa lalu (12 Jun 2018), iaitu sebelum tarikh tutup yang ditetapkan - jam 5.00 petang tadi (14 Jun 2018).

Dengan situasi ini, maka undian pemilihan Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 pada Kongres FAM Ke-54 nanti bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Dato' Haji Hamidin dan Tan Sri Annuar.

Bagaimanapun mana-mana di antara dua calon ini boleh membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding pada bila-bila masa sebelum hari berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 itu.

 

Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)