SIARAN MEDIA: SKUAD HARIMAU MALAYA TIDAK KE PYONGYANG, SELASA INI SELEPAS KERAJAAN KELUARKAN ARAHAN TERBAHARU LARANGAN PERJALANAN KE KOREA UTARA

2017-09-28

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini ingin memaklumkan bahawa skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada tidak akan terbang ke Pyongyang, Korea Utara pada Selasa ini (3 Oktober 2017) seperti jadual asal bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara selepas menerima arahan terbaharu larangan perjalanan ke Korea Utara daripada Kerajaan Malaysia.

 Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan media, hari ini telah melarang semua rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Korea Utara berkuat kuasa serta merta hingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan berikutan situasi tidak menentu di negara berkenaan kesan daripada siri ujian peluru berpandu dan skuad Harimau Malaya turut tidak terkecuali daripada larangan berkenaan.

 Sehubungan itu, saya telah menghubungi Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Dato’ Windsor John dan selepas perbincangan, beliau meminta FAM menghantar surat rasmi kepada AFC bagi memaklumkan skuad Harimau Malaya tidak dapat terbang ke Korea Utara untuk menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara yang dijadual berlangsung di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada Khamis, 5 Oktober 2017.

 Surat rasmi kepada AFC itu telah pun dihantar tengah hari ini bagi memaklumkan bahawa skuad Harimau Malaya tidak dapat terbang ke Pyongyang berikutan larangan perjalanan terbaharu daripada Kerajaan Malaysia.

 AFC menerusi Dato’ Windsor dalam surat balasannya yang dihantar kepada FAM sebentar tadi (petang ini) telah bersetuju untuk membuat keputusan bahawa perlawanan Korea Utara bertemu Malaysia tidak akan dimainkan di Pyongyang pada tarikh 5 Oktober itu. Lain-lain perkembangan berhubung status perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh AFC.

Saya telah memaklumkan semua perkembangan terbaharu ini kepada Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan baginda telah berkenan serta sedia maklum mengenai semua tindakan dan langkah yang telah dan akan diambil.

 Perbincangan juga telah dibuat dengan Vingada dan beliau membuat keputusan untuk mengubah program kem latihan pusat yang sepatutnya bermula di Johor Bahru pada Sabtu ini (30 September) memandangkan perancangan awal skuad Harimau Malaya akan terbang ke Pyongyang melalui Singapura dan Beijing pada 3 Oktober.

 Namun berdasarkan perkembangan terbaharu ini, kem latihan pusat hanya akan bermula pada Rabu, 4 Oktober di Wisma FAM, Kelana Jaya dan skuad Harimau Malaya akan terbang ke Hong Kong dari Kuala Lumpur pada 6 Oktober untuk menghadapi satu lagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober 2017.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

KHAMIS, 28 SEPTEMBER 2017