SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN ARAB SAUDI LWN MALAYSIA

2016-03-23 

Berikut komen ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan ketua pasukan, Safiq Rahim pada sidang media praperlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, hari ini.

 Ia menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Arab Saudi kendalian Bert van Marwijk bertemu Malaysia di stadium berkenaan, 8.30 malam esok (1.30 pagi Jumaat waktu Malaysia).

 Skuad Harimau Malaysia yang bakal mengharungi perlawanan terakhir Kumpulan A kini mengumpul empat mata hasil sekali menang, sekali seri dan lima kali tewas untuk menghuni tangga keempat manakala Arab Saudi di tangga teratas dengan 16 mata, berbaki dua perlawanan.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Pasti ia akan jadi satu perlawanan yang menarik. Kami sedar Arab Saudi pasukan yang baik. Sudah tentu kami perlu bekerja keras dan saya harap kami dapat beraksi lebih baik pada perlawanan esok.

 "Bagi saya, semua perlawanan yang kami hadapi tidak perlu ada perkara yang menjadi kerisauan. Setiap perlawanan, kami perlu main dengan kemampuan terbaik yang kami ada.

 "Kami tahu Arab Saudi pasukan yang kuat tetapi kami telah melakukan yang terbaik ketika menentang mereka di Shah Alam. Saya yakin kami boleh mengulangi persembahan seperti itu.

 "Dari segi kekuatan, Arab Saudi memiliki barisan seimbang. Setiap pemain mereka cukup baik dan kuat. Jadi kami perlu berusaha keras lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong mereka dan Arab Saudi juga belum pernah tewas di laman sendiri."

 

KOMEN KAPTEN MALAYSIA, SAFIQ RAHIM

"Kami akui pasukan Arab Saudi antara salah satu pasukan terbaik di Asia. Tapi seperti apa yang jurulatih kami katakan, kami akan bermain mengikut kemampuan dan kekuatan kami sendiri. Apa yang penting, persembahan di atas padang nanti.

 "Kami yakin dan percaya yang kami memiliki kekuatan untuk cuba mengulangi persembahan baik sama seperti ketika aksi bertemu Arab Saudi di Shah Alam.

 "Kami kini mendapat sentuhan jurulatih baharu, gabungan pemain baharu, harapan baharu dan mengharapkan satu persembahan baharu.

 "Memang beberapa perlawanan kami lalui sebelum ini berakhir dengan kekecewaan. Tapi kini kami mahu buka buku baharu dan mesti membuktikan sesuatu."