SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN MALAYSIA LWN MACAU

2016-03-29

Berikut komen ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media praperlawanan yang berlangsung di Hotel Hatten, Melaka, malam tadi.

 Ia menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' antara Malaysia bertemu Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka, 8.45 malam ini.

 Ini merupakan aksi persahabatan sulung skuad Harimau Malaysia untuk 2016 selepas mereka menamatkan saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dengan kekalahan 2-0 kepada Arab Saudi di Jeddah, 24 Mac lalu.

 Malaysia kini di ranking ke-166 dunia manakala Macau kendalian Tam Iao San di tangga ke-195.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Biarpun ini hanya perlawanan persahabatan, namun ia melibatkan ranking. Jadi saya mahu lihat persembahan yang lebih baik daripada pemain secara keseluruhan. Sudah tentu saya mahukan kemenangan bagi memperbaiki mata ranking kita.

 "Kita akan bermain mengikut kekuatan pasukan lawan. Saya faham semua mahu lihat satu permainan yang cukup menarik. Kalau boleh kita nak main juga macam Barcelona, tiki taka. Tapi seperti yang saya katakan, Arab Saudi dan Macau memiliki kekuatan berbeza.

 "Jadi pendekatan kita untuk bertemu Macau pun berbeza dan saya harap kita dapat mempamerkan persembahan lebih baik terutama dari segi mengatur serangan dan memperkemas kelemahan kita sebelum ini.

 "Walaupun ranking Macau lebih rendah, kita tak boleh memandang rendah mereka. Saya percaya mereka pun mempersiap pasukan. Jadi kita harus ambil serius dan semua pemain perlu kekal fokus dan disiplin seperti ketika bertemu Arab Saudi biarpun kita tewas. Kali ini kita perlukan satu keputusan yang positif."